KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih rendah pada Jumaat berbanding peningkatan semalam, diheret turun oleh ketidaktentuan prestasi Wall Street susulan kebimbangan impak krisis Rusia-Ukraine ke atas kadar pertumbuhan ekonomi, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.10 mata kepada 1,612.44 daripada 1,618.54 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras tersebut dibuka susut 2.54 mata kepada 1,616.00.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 279 berbanding 129 manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,617 tidak didagangkan manakala sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 203.50 juta unit bernilai RM109.72 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Purata Perindustrian Dow Jones (Purata DJI) susut 97 mata manakala Nasdaq mencatat penurunan ketara sebanyak 214 mata.

"Kami yakin kebimbangan itu semakin berleluasa selain kerisauan membabitkan aspek inflasi dalam keadaan peningkatan harga komoditi," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, di peringkat tempatan, aliran dana asing juga terus ketara dengan tumpuan ke atas saham-saham tempatan untuk mengambil peluang di atas penilaian lebih rendah, sekali gus menjadikan unjuran indeks bergerak dalam jajaran 1,610-1,625 hari ini.

"Selain itu, aktiviti pengambilan untung juga dijangka berlaku susulan peningkatan harga minyak sawit mentah dan minyak mentah yang mana harga minyak sawit mentah ditutup pada RM7,450 satu tan manakala minyak mentah Brent pada US$110 setong," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank berkurangan empat sen kepada RM9.08, Public Bank kekal pada RM4.43, Petronas Chemicals naik 26 sen kepada RM10.26, Press Metal susut dua sen kepada RM7.20 dan IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM6.54.

Bagi saham aktif, China Automobile naik satu sen kepada 20 sen, TDM menokok 1.5 sen kepada 32.5 sen dan DNex turun dua sen kepada RM1.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 42.41 mata kepada 11,435.26, Indeks FBM Emas Syariah turun 53.93 mata kepada 12,187.72, FBM 70 berkurangan 39.56 mata kepada 13,398.53, Indeks FBMT 100 merosot 40.09 mata kepada 11,114.65 dan FBM ACE kehilangan 61.88 mata kepada 5,614.71.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.57 mata kepada 215.89, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 29.04 mata kepada 16,478.44 dan Indeks Perladangan berkurangan 30.89 mata kepada 8,751.70.

-- BERNAMA