KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih sejajar dengan prestasi bercampur-campur di Wall Street semalaman.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.13 mata kepada 1,621.05 daripada paras penutup 1,629.18 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 4.22 mata kepada 1,624.96.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 463 berbanding 128, dengan 306 kaunter tidak berubah, 1,509 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 332.60 juta saham bernilai RM203.65 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen di Wall Street bercampur-campur dengan keputusan kewangan pengeluar cip Amerika, Nvidia, dan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat yang lebih baik daripada jangkaan serta prestasi jualan rumah baharu yang lemah daripada jangkaan.

"Memandangkan dagangan bercampur-campur di Wall Street, dan ditambah pula dengan keputusan suku ke suku korporat tempatan yang lebih lemah baru-baru ini, kami menjangkakan aktiviti pengambilan untung akan muncul di bursa tempatan," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dengan aliran meningkat kukuh yang dicatatkan Nvidia, firma pembrokeran tersebut menjangkakan minat belian akan tertumpu kepada saham di pasaran tempatan, khususnya sektor teknologi, dan juga saham berkaitan pusat data.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Tenaga Nasional suust empat sen masing-masing kepada RM9.95 dan RM13.06, Public Bank turun dua sen kepada RM4.18, CIMB susut tiga sen kepada RM6.85, manakala Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM6.96.

Dalam kalangan kaunter cergas, AHB Holdings dan Sapura Energy tidak berubah masing-masing pada 17 sen dan 4.5 sen, Sime Darby Property naik 10 sen kepada RM1.26, Velesto mengukuh setengah sen kepada 30 sen dan Fajarbaru rmeningkat lima sen kepada 43.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 68.17 mata kepada 12,351.36, Indeks FBMT 100 susut 66.00 mata kepada 11,946.67, Indeks FBM 70 turun 122.67 mata kepada 17,733.76, Indeks FBM ACE turun 16.54 mata kepada 5,502.58 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 43.78 mata kepada 12,622.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 57.04 mata kepada 17,704.22, Indeks Tenaga turun sebanyak 4.64 mata kepada 999.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.51 mata kepada 196.94 namun Indeks Perladangan meningkat 2.38 mata kepada 7,300.00.

-- BERNAMA