NATIONAL
Dua hilang, tiga selamat insiden bot karam di Belaga

Dua penumpang hilang manakala tiga lagi terselamat dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Sungai Rajang, Belaga, petang tadi. - Foto JBPM Sarawak
SIBU: Dua penumpang hilang manakala tiga lagi terselamat dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Sungai Rajang, Belaga, petang tadi.
Ringkasan AI
- Dua penumpang hilang dan tiga terselamat dalam insiden bot karam di Long Menjawah, Sungai Rajang, Belaga.
- Mangsa hilang adalah Balavishnu Permaloo, 36, dan Rhuban Apparoo, 30, dari Sungai Karangan, Padang Serai, Kedah, manakala identiti tiga yang terselamat belum diperoleh.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan bomba ditangguhkan pada 6.30 petang dan akan disambung esok pagi bersama agensi lain.
Menurut pusat itu, sebaik panggilan mengenai kejadian itu diterima pada 4.33 petang pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dengan kekuatan lima anggota dan jentera telah digerakkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira 31 kilometer.
"Mengikut maklumat awal seramai lima pekerja Syarikat Clinroom Indusrti Sdn Bhd yang juga syarikat penyelenggara empangan Bakun telah menyewa bot daripada penduduk kampung untuk bersiar-siar di sekitar Jeram Mejawah, Belaga yang dikemudi oleh Robert Jaang (penduduk Rumah Apan).
"Semasa kejadian, bot yang dinaiki karam disebabkan arus deras di Jeram Mejawah. Jurumudi bot berusaha menyelamatkan kesemua penumpang namun dua penumpang dihanyutkan arus deras," menurut kenyataan itu di sini, malam ini.
Sebaik selesai mengumpul maklumat dan memantau keadaan di lokasi, pasukan bomba bergerak balik ke balai dan operasi ditangguhkan pada 6.30 petang manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung esok pagi bersama agensi lain yang berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami