Bursa Malaysia dibuka tinggi

Pada 9.19 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.54 mata kepada 1,610.72 daripada 1,607.18 ketika ditutup pada Jumaat. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, menjejaki prestasi Wall Street semalaman yang positif susulan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China telah reda serta keyakinan terhadap penutupan kerajaan AS yang dijangka akan berakhir.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan reda ketegangan AS-China dan keyakinan terhadap penutupan kerajaan AS yang dijangka berakhir.
- FBM KLCI naik kepada 1,610.72 dengan saham seperti Nestle, MPI dan Tenaga Nasional mencatat keuntungan, manakala indeks utama lain turut meningkat.
- Aktiviti belian semasa harga murah dijangka berterusan dengan indeks berlegar antara 1,605 hingga 1,620 sepanjang hari.
"Kami percaya aktiviti belian semasa harga murah akan muncul dalam masa terdekat justeru indeks dijangka berlegar antara julat 1,605-1,620 hari ini," katanya.
Bagi saham aktif, MMAG dan EA Holdings tidak berubah masing-masing pada setengah sen, Dagang Nexchange dan PA Resources meningkat satu sen masing-masing kepada 28 sen dan 18 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle naik RM1.40 kepada RM106.40, Malaysian Pacific Industries menambah 64 sen kepada RM29.56, MI Technovation melonjak 14 sen kepada RM2.84 dan Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM13.22.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menambah 40.13 mata kepada 11,782.15, Indeks FBM Emas Shariah naik 61.61 mata kepada 12,118.88, Indeks FBM ACE menokok 47.96 mata kepada 5,326.85, Indeks FBM Emas melonjak 44.57 mata kepada 12,049.48, Indeks FBM Mid 70 menokok 107.55 mata kepada 17,115.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.61 mata kepada 18,203.05, Indeks Perladangan turun 5.11 mata kepada 7,855.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.31 mata kepada 171.36 dan Indeks Tenaga melonjak 3.60 mata kepada 792.53.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami