Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia dijangka catat aliran meningkat, sasar paras 1,700 minggu depan

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Mohd Sedek berkata sentimen risiko global yang semakin bertambah baik dijangka menyediakan persekitaran memberangsangkan untuk ekuiti serantau, termasuk Bursa Malaysia. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia dijangka meneruskan peningkatan dan menguji paras psikologi 1,700 mata minggu depan, disokong oleh kenaikan semula lebih tinggi pada Jumaat serta pembelian berterusan oleh pelabur institusi tempatan.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen risiko global yang semakin bertambah baik dijangka menyediakan persekitaran memberangsangkan untuk ekuiti serantau, termasuk Bursa Malaysia.

“Risiko geopolitik yang rendah dan persekitaran dasar monetari yang bersifat lebih akomodatif telah membantu meningkatkan minat terhadap aset berisiko pada peringkat global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagaimanapun, prestasi melepasi paras itu secara berterusan memerlukan penyertaan pasaran yang lebih luas, terutama daripada saham perbankan berwajaran tinggi dan sokongan institusi domestik yang berterusan serta kembalinya pembelian asing.

“Jangkaan keuntungan korporat yang lebih kukuh di samping sentimen pasaran global yang semakin bertambah baik juga akan menjadi pemangkin penting untuk menyokong kenaikan lebih kukuh secara berterusan,” katanya.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia ditutup rendah kebanyakannya apabila pengambilan untung pada minit-minit terakhir meningkat, mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati susulan ketiadaan pemangkin baharu pasaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama meningkat 11.31 mata kepada 1,679.05 daripada 1,667.74 pada minggu sebelumnya.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 91.99 mata kepada 12,457.01; Indeks FBMT 100 menokok 81.71 mata kepada 12,283.30; dan Indeks FBM Emas Syariah naik 50.93 mata kepada 12,292.23.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 114.17 mata kepada 17,840.36 dan Indeks FBM ACE melonjak 149.31 mata kepada 4,894.61.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 86.56 mata kepada 8,969.54; Indeks Tenaga naik 12.70 mata kepada 758.60; Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 168.84 mata kepada 19,831.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.85 mata kepada 182.44.

Jumlah dagangan mingguan sebanyak 13.63 bilion unit bernilai RM11.11 bilion berbanding 15.54 bilion unit bernilai RM13.11 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 6.73 bilion unit bernilai RM9.72 bilion daripada 7.78 bilion unit bernilai RM11.58 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 4.29 bilion unit bernilai RM529.34 juta daripada 5.15 bilion unit bernilai RM628.56 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 2.60 bilion unit bernilai RM860.50 juta berbanding 2.59 bilion unit bernilai RM899.90 juta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement