KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan keuntungan yang diraih pada Jumaat minggu lepas dan dibuka lebih tinggi hari ini, dirangsang oleh sentimen pasaran yang positif selain para pelabur turut mengambil petunjuk daripada pasaran ekuiti global.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.24 mata kepada 1,608.53 daripada penutup Jumaat pada 1,607.29.

Indeks utama itu dibuka 0.66 mata lebih tinggi pada 1,607.95.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 173 berbanding 179, manakala 272 kaunter tidak berubah, 1,630 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 266.93 juta bernilai RM68.47 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota hari ini, pelabur seharusnya memihak kepada saham bertemakan pemulihan dan mengelak daripada saham sektor teknologi.

"Sementara itu, beberapa data ekonomi akan dikeluarkan pada minggu ini termasuk kadar inflasi AS dan keputusan kadar faedah Bank Pusat Eropah yang masing-masing pada 12 dan 14 April," katanya.

Bagi komoditi, ia berkata minyak mentah berlegar melebihi US$100 setong manakala minyak sawit mentah (MSM) diniagakan lebih kukuh melepasi paras RM5,900.

Firma itu turut menjangkakan pelabur lebih tertumpu kepada saham pengguna, pelancongan dan bahan binaan memandangkan aktiviti ekonomi yang bertambah baik.

Selain itu, sektor perladangan kekal teguh di tengah-tengah pemulihan harga kontrak niaga hadapan MSM.

"Bagaimanapun, sektor teknologi diunjur menyaksikan dagangan berhati-hati berikutan kemerosotan semalaman di Nasdaq berikutan kecenderungan Rizab Persekutuan yang lebih agresif (menaikkan kadar faedah) terhadap dasar monetari pada masa hadapan," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM8.88, IHH Healthcare naik empat sen kepada RM6.49, Public Bank tidak berubah pada RM4.68, manakala Petronas Chemicals susut lapan sen kepada RM10.22 dan CIMB turun empat sen kepada RM5.31.

Bagi saham aktif, VSolar dan Brahims masing-masing jatuh setengah sen kepada satu sen dan tiga sen, Yong Tai dan Matang naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 12.5 sen dan 11 sen, manakala Tanco meningkat 6.5 sen kepada 54.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menokok 7.68 mata kepada 11,208.30, Indeks FBM Emas lebih tinggi sebanyak 10.04 mata kepada 11,561.63, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.87 mata kepada 12,222.46, FBM 70 meraih 5.60 mata kepada 14,009.45 dan FBM ACE memperoleh 0.08 mata kepada 5,861.56.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.06 mata kepada 214.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 7.04 mata kepada 16,775.29, manakala Indeks Perladangan meningkat 42.28 mata kepada 8,395.88.

-- BERNAMA