BISNES
Bursa Malaysia ditutup rendah meskipun sentimen pasaran positif

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 4.71 mata atau 0.30 peratus untuk ditutup pada 1,576.34 daripada 1,581.05 semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, seiring dengan prestasi hambar pasaran serantau, walaupun sentimen adalah positif susulan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 yang memberangsangkan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.71 mata atau 0.30 peratus untuk ditutup pada 1,576.34 daripada 1,581.05 semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.70 mata lebih tinggi kepada 1,581.75, dan bergerak dalam julat antara 1,571.19 hingga 1,581.79 sepanjang dagangan.
Pasaran secara keseluruhannya suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 488 berbanding 449, manakala 497 kaunter tidak berubah, 1,138 kaunter tidak didagangkan dan tujuh yang lain digantung.Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.01 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 2.40 bilion unit bernilai RM2.66 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran kekal baik susulan pengumuman data KDNK Malaysia bagi suku kedua 2025 yang mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun.
Beliau berkata KDNK itu adalah selaras dengan unjuran pihaknya iaitu dalam julat 4.30 hingga 4.50 peratus dan hanya sedikit lebih rendah daripada jangkaan awal pada 4.5 peratus.
"Data ini bertentangan dengan jangkaan awal bahawa tarif timbal balas pada April yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ditambah ketidaktentuan dasar perdagangan AS yang berpanjangan, akan menyebabkan kelembapan yang lebih ketara apabila perniagaan mengambil pendekatan tunggu dan lihat
"Memandangkan hala tuju dasar Washington kini lebih jelas, kami yakin kesan negatif berkaitan perdagangan telah berlalu sekali gus membolehkan pertumbuhan kekal disokong dalam jangka masa terdekat," katanya kepada Bernama.
Dalam sesi dagangan hari ini, saham perbankan menerajui kenaikan dalam kalangan konstituen FBM KLCI.
"Sektor ini sering dianggap sebagai proksi kepada momentum ekonomi, dan memandangkan data KDNK secara keseluruhannya memenuhi jangkaan pasaran, pelabur beralih kepada saham kewangan dan yakin latar belakang makro yang berdaya tahan akan menyokong permintaan kredit yang berterusan dan keterlihatan pendapatan.
"Kekuatan sektor ini membantu mengimbangi kelemahan dalam kaunter berkaitan komoditi dan berorientasi eksport terpilih, yang masih sensitif terhadap perubahan sentimen perdagangan global," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB naik 5.0 sen kepada RM7.25, Maybank susut 4.0 sen kepada RM9.80, Tenaga Nasional turun 6.0 sen kepada RM13.62, IHH Healthcare merosot 8.0 sen kepada RM6.82, manakala Public Bank kekal pada RM4.45.
Bagi kaunter paling aktif, Tanco meningkat 1.0 sen kepada 73 sen, Oxford Innotech naik 3.5 sen kepada 44.5 sen, Zetrix AI turun setengah sen kepada 89.5 sen, Bina Puri susut 1.5 sen kepada 35 sen, dan TWL tidak berubah pada 2.5 sen.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas susut 29.86 mata kepada 11,731.06, Indeks FBMT 100 turun 30.86 mata kepada 11,512.86, Indeks FBM Emas Syariah merosot 53.60 mata kepada 11,654.85, Indeks FBM 70 kurang 29.25 mata kepada 16,660.68, manakala Indeks FBM ACE menokok 46.91 mata kepada 4,713.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 29.54 mata kepada 18,080.07, Indeks Perladangan susut 77.62 mata kepada 7,504.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.22 mata kepada 157.72, manakala Indeks Tenaga naik 1.34 mata kepada 740.83.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.17 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 1.33 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut kepada 474.97 juta unit bernilai RM66.97 juta daripada 683.46 juta unit bernilai RM100.19 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 359.0 juta unit bernilai RM135.16 juta berbanding 391.12 juta unit bernilai RM142.13 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 217.46 juta saham didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (143.74 juta), pembinaan (102.71 juta), teknologi (138.34 juta), perkhidmatan kewangan (63.09 juta), hartanah (185.03 juta), perladangan (25.07 juta), REIT (37.19 juta), dana tertutup (1,100), tenaga (85.52 juta), penjagaan kesihatan (77.37 juta), telekomunikasi dan media (25.44 juta), pengangkutan dan logistik (38.10 juta), utiliti (32.27 juta), dan amanah perniagaan (3,500).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami