Skip to main content

Malaysia

Senat AS sahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar ke Malaysia

Senat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS yang baharu ke Malaysia. - Foto USA Gov Web
Senat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS yang baharu ke Malaysia. - Foto USA Gov Web

Ringkasan AI

  • Senat Amerika Syarikat mengesahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Malaysia pada 30 September 2026.
  • Harris ialah pegawai diplomatik kerjaya berpangkat Minister-Counselor dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Negara di Biro Hal Ehwal Asia Barat.
  • Jawatan Duta Besar AS di Kuala Lumpur kosong sejak Februari selepas Edgard D. Kagan menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar ke-22 ke Malaysia.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Senat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pencalonan Joshua Harris sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS yang baharu ke Malaysia.

Menurut laman web Kongres AS, pencalonan Harris disahkan oleh Senat menerusi undian suara pada 30 Sept 2026.

Harris yang berasal dari Maryland merupakan pegawai diplomatik kerjaya dalam Perkhidmatan Luar Kanan AS dengan pangkat Minister-Counselor. 

Advertisement

Pencalonan beliau dikemukakan oleh Presiden Donald Trump pada 21 Julai 2026 sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Jawatankuasa itu mengadakan sesi pendengaran pada 16 Sept sebelum Senat, dengan persetujuan sebulat suara, mengambil alih pertimbangan pencalonan berkenaan pada 30 Sept dan mengesahkannya pada hari yang sama. 

Advertisement

Pengesahan itu menandakan selesainya proses pertimbangan Senat terhadap pencalonan Harris untuk mewakili AS di Malaysia.

Harris pernah berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Negara di Biro Hal Ehwal Asia Barat dari 18 Julai 2022 hingga 5 Ogos 2025, dengan tanggungjawab menyelia hubungan AS dengan Algeria, Mesir, Libya, Maghribi dan Tunisia.

Jawatan Duta Besar AS di Kuala Lumpur kosong sejak Februari susulan pemergian Edgard D. Kagan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta Besar AS ke-22 ke Malaysia.

Kagan, seorang diplomat kerjaya, menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Mac 2024 selepas disahkan oleh Senat pada November 2023.

Maklumat lanjut mengenai pencalonan Harris dan pengesahannya oleh Senat AS pada 30 Sept 2026 boleh didapati di laman web Kongres AS di https://www.congress.gov/nomination/119th-congress/1201/4.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement