KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan untung menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.47 mata atau 0.42 peratus kepada 1,553.51 daripada paras penutup 1,559.98 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.07 mata lebih rendah kepada 1,559.91 dan bergerak antara paras 1,553.43 dan 1,565.57 sepanjang hari dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 496 berbanding 466 manakala 550 kaunter tidak berubah, 841 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.46 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 3.97 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata melihat dari segi domestik, beliau menjangka dagangan lengang berikutan cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Saya juga menjangkakan penanda aras itu tidak berubah dengan kecenderungan menaik dalam julat 1,555 hingga 1,565 menjelang hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Thong berkata bahawa indeks serantau utama ditutup lebih tinggi, pulih daripada kerugian yang dialami minggu lalu.

"Bagaimanapun keuntungan terhad disebabkan jangkaan data inflasi utama dan petunjuk seterusnya mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

"Fokus pelabur adalah pada data Indeks Harga Pengguna AS untuk mendapatkan gambaran lanjut mengenai kadar faedah terutamanya selepas pengumuman senarai data gaji bukan ladang yang kukuh menyebabkan peniaga melaraskan jangkaan untuk penurunan kadar pada bulan Jun," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 6.0 sen kepada RM9.63, CIMB Group turun 7.0 sen kepada RM6.57, Tenaga Nasional jatuh 14.0 sen kepada RM11.66, Petronas Chemicals berkurangan 2.0 sen kepada RM6.77, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.19.

Antara saham aktif pula, YTL Power International menguncup 3.0 sen kepada RM3.99, TWL Holdings dan KNM Group masing-masing tidak berubah pada 3.0 sen dan 7.5 sen, manakala Velesto Energy menambah 0.5 sen kepada 28 sen dan SBH Marine melonjak 2.5 sen kepada 28 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 32.87 mata kepada 11,701.14, Indeks FBMT 100 berkurangan 35.37 mata kepada 11,335.46, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 29.31 mata kepada 11,865.20, manakala Indeks FBM 70 susut 2.50 mata kepada 16,365.80.

Bagaimanpun, FBM ACE naik 30.32 mata kepada 5,011.16.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 61.44 mata kepada 17,243.53, Indeks Perladangan merosot 2.23 mata kepada 7,478.82, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun kepada 0.60 kepada 183.81, Indeks Tenaga naik 9.41 mata kepada 970.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.88 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 1.91 bilion unit bernilai RM1.97 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.01 bilion unit bernilai RM115.72 juta daripada 1.22 bilion unit bernilai RM137.02 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula jatuh kepada 569.18 juta saham bernilai RM176.42 juta daripada 810.96 juta saham bernilai RM223.25 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 304.28 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (300.45 bilion); pembinaan (237.36 juta); teknologi (137.65 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (61.86 juta); hartanah (421.41 juta); perladangan (40.29 juta); REIT (17.01 juta); dana tertutup (41,900); tenaga (216.99 juta); penjagaan kesihatan (30.89 juta); telekomunikasi dan media (21.24 juta); pengangkutan dan logistik (29.16 juta); serta utiliti (63.62 juta).

-- BERNAMA