KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi jenazah Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, malam ini.
Turut bersama-sama beliau, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang menyertai ahli keluarga, rakan penggiat seni serta jemaah dalam bacaan surah Yassin dan majlis tahlil ringkas bagi mendoakan roh Allahyarham.
Terdahulu, Anwar menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh kesusasteraan negara itu yang meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang Selasa.
"Pak Samad membantu kita memahami kehidupan mereka yang sering terpinggir dalam masyarakat, menggalakkan kita berkongsi perjuangan mereka dan mendukung harapan mereka," katanya dalam hantaran penghormatan di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menegaskan kecintaan Allahyarham terhadap rakyat serta keteguhannya mempertahankan bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan akan terus dikenang melalui karya-karya sastera yang dihasilkan.
"Kecintaannya terhadap rakyat akan terus hidup melalui karya-karya sasteranya, begitu juga keteguhannya mempertahankan bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan," tegas beliau.
Terdahulu, van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dari HKL malam ini dengan disambut ahli keluarga, kenalan rapat serta pengamal media yang membuat liputan di lokasi.
Pemergian Sasterawan Negara keempat itu disahkan oleh anaknya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di media sosial selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada petang Selasa.
"6.10 (petang). Innalillahi wainnailaihi rojiun. Bapa baru meninggal," katanya menerusi catatan di media sosial pada Selasa.
Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke wad HKL pada lewat petang Isnin bagi menerima rawatan akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
"Innalillahi wainnailaihi rojiun," tulis Helmy dalam satu lagi perkongsian mengesahkan pemergian bapanya pada usia 91 tahun.