Skip to main content

Dunia

EU mahu larang penggunaan bendera Rusia pada acara sukan

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan cadangan bagi pakej sekatan seterusnya berhubung perang Rusia terhadap Ukraine, yang akan melarang pasukan dan atlet individu Rusia daripada bertanding di bawah bendera negara itu pada acara sukan di Kesatuan Eropah (EU) pada masa hadapan. - Foto REUTERS/Yves Herman
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan cadangan bagi pakej sekatan seterusnya berhubung perang Rusia terhadap Ukraine, yang akan melarang pasukan dan atlet individu Rusia daripada bertanding di bawah bendera negara itu pada acara sukan di Kesatuan Eropah (EU) pada masa hadapan. - Foto REUTERS/Yves Herman

Ringkasan AI

  • Presiden Suruhanjaya Eropah mencadangkan larangan ke atas pasukan dan atlet Rusia bertanding di bawah bendera negara itu pada acara sukan di EU.
  • Cadangan turut melarang simbol rasmi Rusia, menyekat penajaan Rusia, dan menghalang warganegara Rusia memegang jawatan kepimpinan dalam badan sukan Eropah.
  • Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan membenarkan Rusia menyertai Kejohanan Hoki Ais Dunia mencetuskan kontroversi, dengan beberapa negara enggan menentang Rusia.
Advertisement

BRUSSEL: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan cadangan bagi pakej sekatan seterusnya berhubung perang Rusia terhadap Ukraine, yang akan melarang pasukan dan atlet individu Rusia daripada bertanding di bawah bendera negara itu pada acara sukan di Kesatuan Eropah (EU) pada masa hadapan, lapor agensi berita Jerman dpa.

Rancangan itu turut merangkumi langkah untuk melarang pemaparan simbol rasmi Rusia serta menyekat aliran kewangan daripada penaja Rusia kepada persatuan sukan dan kebudayaan yang berpangkalan di Eropah. Warganegara Rusia juga tidak lagi dibenarkan memegang jawatan kepimpinan dalam badan pentadbiran persekutuan sukan yang berpangkalan di Eropah.

"Acara sukan tidak boleh dijadikan wadah bagi kegiatan propaganda," kata von der Leyen pada Isnin.

Advertisement

Menerusi rancangan itu, EU akan mengehadkan kebebasan bertindak persekutuan sukan antarabangsa di Eropah.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menarik balik penggantungan terhadap Jawatankuasa Olimpik Rusia buat sementara waktu pada Julai. Sejak itu, IOC menyerahkan keputusan kepada setiap persekutuan sukan sama ada atlet Rusia boleh kembali bertanding di bawah bendera negara mereka dalam pertandingan masing-masing.

Advertisement

Bagaimanapun, pendirian IOC ialah penyertaan atlet dalam pertandingan antarabangsa "tidak seharusnya dihadkan disebabkan penglibatan kerajaan mereka dalam perang atau konflik."

Baru-baru ini, keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan Rusia menyertai Kejohanan Hoki Ais Dunia di Jerman pada tahun depan telah mencetuskan kontroversi. Beberapa negara lain, termasuk juara dunia Finland, mengumumkan bahawa mereka tidak akan  beraksi menentang pasukan Rusia.

Jerman selaku tuan rumah berpandangan bahawa penganjuran kejohanan itu berdepan ancaman serius dalam keadaan sedemikian dan menuntut badan pentadbiran sukan berkenaan mencari penyelesaian. Kerajaan Jerman menolak kemungkinan untuk tidak mengeluarkan visa kepada atlet Rusia, dengan menyatakan bahawa matlamatnya adalah untuk mencapai penyelesaian diplomatik.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement