TUMPAT: Aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di perairan Kelantan menunjukkan sedikit penurunan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 susulan keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu yang meningkatkan risiko pergerakan bot laju.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata meskipun keadaan cuaca membataskan pergerakan sindiket penyeludupan, pihaknya tidak mengambil mudah situasi itu, sebaliknya terus mempergiat rondaan dan risikan bagi mengekang kegiatan rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata keadaan geografi Kuala Tumpat yang mempunyai kira-kira 13 pulau serta beberapa laluan air cetek menjadi antara cabaran dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan.
Kamal berkata sindiket penyeludupan turut dipercayai menggunakan khidmat tonto bagi memantau keadaan laluan sebelum membawa masuk pendatang ke negara ini.
“Peranan tonto memang utama kerana mereka akan memberikan isyarat sama ada laluan selamat atau sebaliknya sebelum kemasukan dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika menyertai rondaan di kawasan panas kegiatan penyeludupan di perairan dan Sungai Kelantan.
Bagi tempoh 2023 hingga November 2026, APMM merekodkan 46 kes tangkapan melibatkan 348 pendatang daripada pelbagai kewarganegaraan, dengan warga Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 169 orang, diikuti Vietnam (61), Bangladesh (14), India (11), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes membabitkan 193 pendatang direkodkan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, menunjukkan peningkatan jumlah tangkapan berbanding trend sebelum ini.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai laluan darat, udara dan laut menerusi negara jiran untuk membawa masuk migran ke Malaysia.
"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM10,000 bagi setiap individu, bergantung kepada laluan dan urusan kemasukan yang disediakan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal berkata APMM Kelantan turut merekodkan 12 kes rampasan kontraban bagi tempoh 2023 hingga November tahun ini dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM19.65 juta.
Jumlah itu termasuk empat kes penyeludupan rokok putih tidak bercukai tahun ini dengan nilai rampasan RM997,370.
Beliau berkata penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan perairan negara terpelihara, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan.
Sementara itu, tinjauan Bernama ketika menyertai rondaan menaiki bot APMM di perairan berhampiran Pulau Teluk Renjuna di sini mendapati keadaan geografi kawasan berkenaan menuntut pemantauan berterusan bagi mengekang kegiatan penyeludupan.
-- BERNAMA