Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan jualan saham wajaran tinggi

Pada 5 petang, FBM KLCI susut 7.20 mata atau 0.45 peratus kepada 1,604.36 daripada paras 1,611.56 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 7.20 mata atau 0.45 peratus kepada 1,604.36 daripada paras 1,611.56 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin terjejas oleh aktiviti jualan dalam saham wajaran tinggi tertentu terutamanya sektor utiliti dan perbankan selain dipengaruhi prestasi yang lebih lemah di pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.20 mata atau 0.45 peratus kepada 1,604.36 daripada paras 1,611.56 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.44 mata kepada 1,612.00, paras tertingginya pada hari ini, sebelum mencecah paras terendah 1,600.45 pada sesi dagangan lewat petang.

Bagaimanapun pasaran secara keseluruhannya menunjukkan sentimen yang agak positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 549 berbanding 514, manakala 508 kaunter tidak berubah, 1,330 kaunter tidak diniagakan, dan 59 kaunter digantung. 

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.90 bilion unit bernilai RM2.15 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Jumaat minggu lepas.

  Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata tekanan jualan terus berlaku dalam kalangan saham wajaran tinggi sektor utiliti dan perbankan di tengah-tengah jumlah dagangan yang rendah.

Beliau berkata pasaran serantau kebanyakannya ditutup rendah terjejas oleh penurunan saham teknologi apabila para pelabur mempersoalkan kemampanan perbelanjaan besar-besaran dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta potensi pulangan daripada pelaburan sedemikian.

"Di pasaran tempatan minat belian beralih kepada saham tenaga, disokong oleh kenaikan berterusan harga minyak mentah. Kami percaya pembelian saham berharga rendah akan berlaku memandangkan kelemahan pasaran baru-baru ini, terutamanya dalam saham yang mengalami penurunan mendadak walaupun mempunyai asas kukuh.

“Bagaimanapun, kecairan rendah, harga minyak tinggi serta ketidakpastian dalam pasaran menjelang keputusan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada minggu ini mungkin mengehadkan sebarang lantunan semula. Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,590–1,620 pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM9.98, Public Bank dan Tenaga Nasional turun dua sen masing-masing kepada RM4.73 dan RM13.28, CIMB berkurangan lima sen kepada RM7.10, manakala IHH Healthcare turun enam sen kepada RM7.84.

Dalam kalangan dagangan aktif, Zetrix AI kekal tidak berubah pada 7.5 sen, Ni Hsin dan JAKS Resources susut 1.5 sen masing-masing  kepada 47.5 sen dan 15 sen, manakala Axteria naik 5.5 sen kepada 19.5 sen dan Nexgram meningkat setengah sen kepada enam sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle melonjak 72 sen kepada RM90.26, Malaysian Pacific Industries naik 58 sen kepada RM40.58, Stratus Global dan ViTrox Corporation meningkat 26 sen masing-masing  kepada RM2.60 dan RM10.72, manakala PPB Group menambah 24 sen kepada RM9.02.

Dalam kalangan saham paling rugi United Plantations turun 50 sen kepada RM29.90, YTL Power susut 36 sen kepada RM2.66, Country View berkurangan 20 sen kepada RM2.66, manakala Sarawak Plantation dan Far East menyusut 14 sen masing-masing kepada RM4.15 dan RM3.95.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 16.45 mata kepada 11,977.0 manakala Indeks FBM Top 100 turun 22.67 mata kepada 11,774.94.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 31.22 mata kepada 11,974.79, Indeks FBM ACE naik 47.52 mata kepada 5,393.66 manakala Indeks FBM Mid 70 menokok 93.21 mata kepada 17,263.54.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.01 mata kepada 175.41, Indeks Tenaga naik 14.06 mata kepada 848.73 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 80.46 mata kepada 18,573.86 dan Indeks Perladangan turun 53.51 mata kepada 8,623.97.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.46 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 1.69 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.0 bilion unit bernilai RM119.65 juta daripada 1.05 bilion unit bernilai RM135.55 juta.

Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat sedikit kepada 441.55 juta unit bernilai RM148.63 juta daripada 432.38 juta unit bernilai RM153.16 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 198.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (227.26 juta), pembinaan (126.27 juta), teknologi (341.20 juta), perkhidmatan kewangan (50.02 juta), hartanah (137.70 juta), perladangan (23.60 juta), amanah pelaburan hartanah (10.16 juta), dana tertutup (27,000), tenaga (129.56 juta), penjagaan kesihatan (88.21 juta), telekomunikasi dan media (20.09 juta), pengangkutan dan logistik (30.40 juta), utiliti (74.60 juta), serta amanah perniagaan (75,300).

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement