JERTIH: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu akan menghantar kira-kira 12 tan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula esok.
Pengarah JKM Terengganu Ismail Kasan berkata daripada jumlah itu, kira-kira enam tan bekalan dihantar ke Pulau Perhentian di sini hari ini bagi menampung keperluan kira-kira 2,000 penduduk.
Beliau berkata penghantaran ke Pulau Redang di Kuala Nerus yang turut mempunyai kira-kira 2,000 penduduk pula dijadualkan pada 5 Nov ini menggunakan kapal Jabatan Laut Malaysia.
“Bekalan itu ditempatkan di pangkalan hadapan di pulau berkenaan bagi menampung keperluan penduduk untuk tempoh hingga 14 hari sekiranya bekalan makanan di pulau tersebut terputus.
“Persediaan ini penting bagi memastikan bekalan keperluan asas tersedia lebih awal, terutama jika keadaan cuaca menjejaskan pergerakan pengangkutan dan menyukarkan penghantaran bekalan dari tanah besar,” katanya kepada pemberita selepas menyertai penghantaran bekalan makanan dan barangan ke Pulau Perhentian.
Ismail berkata penghantaran ke Pulau Perhentian hari ini menggunakan kapal KM Bagahak milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, dengan penglibatan 25 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JKM, sukarelawan JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan APMM.
Beliau berkata penghantaran bekalan tambahan akan dibuat selepas tempoh 14 hari daripada penghantaran pertama, mengikut keperluan semasa dan keadaan di lokasi sekiranya situasi MTL berlarutan.
Beliau berkata penghantaran bekalan ke 127 pangkalan hadapan di seluruh Terengganu kini mencapai 80 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada 5 Nov ini.
“JKM akan memastikan segala keperluan dan logistik di stor utama serta stor di peringkat daerah siap bagi membolehkan bekalan bantuan disalurkan segera kepada mangsa bencana di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
-- BERNAMA