Ringkasan AI
- Kerajaan menegaskan sebarang rundingan dengan Thailand untuk memburu penjenayah rentas sempadan mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.
- PDRM bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serantau dan antarabangsa, termasuk Interpol dan ASEANAPOL, bagi mengesan dalang sindiket penyeludupan migran.
- Operasi bersepadu seperti Op Pasir dan Op Benteng dipergiat, dengan penggunaan teknologi keselamatan untuk mengekang sindiket menggunakan laluan alternatif di utara Semenanjung.
KUALA LUMPUR: Cadangan agar Malaysia berunding dengan Thailand untuk membolehkan pasukan keselamatan memburu penjenayah rentas sempadan di perairan negara itu adalah tertakluk kepada undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara berkenaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata meskipun memahami keperluan usaha membanteras kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin di perairan Langkawi dan Kedah, kerajaan harus memastikan tindakannya mematuhi undang-undang seperti Konvensyen Undang-Undang Laut pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Sehubungan dengan itu, pendekatan utama (untuk menanganinya) adalah melalui persefahaman operasi rondaan dan tindakan proaktif di perairan masing-masing secara bersama,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Suhaimi meminta penjelasan sama ada kerajaan bersedia berunding dengan Thailand bagi membolehkan pasukan keselamatan Malaysia memburu penjenayah rentas sempadan di perairan negara itu, seperti perjanjian dengan Filipina.
Hal ini penting kerana data Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menunjukkan lebih 1,000 pendatang tanpa izin dipintas di perairan Langkawi dan Kedah sejak 2020, walaupun kawalan diperketat.
Mohd Suhaimi juga ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai rancangan konkrit untuk memindahkan penduduk di Bukit Malut ke kawasan lain, serta keberkesanan usaha dalam mendakwa sindiket dan dalang utama dari Myanmar dan Bangladesh.
Shamsul Anuar berkata dalam usaha melumpuhkan rangkaian penyeludupan migran, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan serantau dan antarabangsa, termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) dan ASEANAPOL bagi mengesan dalang sindiket yang beroperasi di luar negara.
Pada masa sama, kerajaan mempergiat operasi bersepadu termasuk Op Pasir dan Op Benteng, selain meningkatkan pengawasan maritim serta penggunaan teknologi keselamatan seperti radar berprestasi tinggi dan dron di kawasan tertentu.
“Hal ini bagi mengekang peralihan modus operandi sindiket ke laluan alternatif seperti Kuala Perlis, Kuala Kedah, Yan dan Kuala Muda susulan kawalan lebih ketat di Langkawi,” katanya.
-- BERNAMA