Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tidak berubah susulan peningkatan konflik di Asia Barat

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.06 mata atau 0.003 peratus kepada 1,714.34 daripada paras penutup 1,714.40 pada Selasa. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tidak berubah pada Rabu di tengah-tengah sentimen berhati-hati pelabur berikutan peningkatan ketegangan di Asia Barat yang menyaksikan minyak mentah Brent melonjak melepasi paras US$100 setong, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.06 mata atau 0.003 peratus kepada 1,714.34 daripada paras penutup 1,714.40 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.06 mata kepada 1,715.46 dan bergerak antara paras 1,710.36 dan 1,718.52 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran saham hampir seimbang dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 551 berbanding 531, manakala 591 kaunter tidak berubah, 1,136 tidak diniagakan dan 15 digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 3.66 bilion unit bernilai RM3.49 bilion daripada 4.13 bilion unit bernilai RM3.14 bilion pada Selasa.

Ketua penyelidikan di Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata sentimen di bursa tempatan kekal berhati-hati ketika para pelabur menilai potensi impak ekonomi akibat kenaikan harga minyak yang berterusan.

Beliau berkata kebimbangan terhadap prospek inflasi boleh menjejaskan sentimen, terutamanya jika kos tenaga tinggi membawa kepada tekanan harga lebih meluas dan meningkatkan prospek langkah monetari yang lebih ketat. 

"Secara teknikalnya, indeks utama membentuk candlestick 'doji' (paras pembukaan dan penutup yang hampir sama) dan kekal bertahan dalam jangka masa pendek," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahap rintangan segera dilihat berada pada 1,722 mata, diikuti 1,727 mata, manakala sokongan jangka pendek kekal masing-masing pada 1,705 mata dan 1,700 mata.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM10.46, Public Bank tidak berubah pada RM5.00, CIMB turun tujuh sen kepada RM7.91, Tenaga Nasional berkurangan 16 sen kepada RM13.74 manakala  IHH Healthcare naik 8.0 sen kepada RM7.92.

Dalam kalangan saham aktif, Zetrix AI turun 3.5 sen kepada 27 sen, Jaks Resources menambah satu sen kepada 13 sen, Gamuda meningkat 12 sen kepada RM4.92 manakala Ni Hsin dan AHB Holdings kedua-duanya naik satu sen masing-masing kepada 30 sen dan 5.5 sen.

MPI menerajui kaunter paling untung, melonjak RM1.14 kepada RM40.96, diikuti Petronas Dagangan, yang meningkat 38 sen kepada RM20.30. Telekom menambah 29 sen kepada RM8.18, UWC menokok 26 sen kepada RM6.78 dan Kuala Lumpur Kepong naik 22 sen kepada RM22.90.

Dalam kalangan saham paling rugi Nestle susut 1.16 sen kepada RM93, F&N turun 44 sen kepada RM24.10, United Plantations berkurangan 30 sen kepada RM33, Hong Leong Industries merosot 16 sen kepada RM16.90, dan RHB Bank menyusut 13 sen kepada RM8.22.

Di papan indeks, Indeks FBM70 meningkat 37.65 mata kepada 17,864.56, Indeks FBM ACE naik 25.43 mata kepada 5,297.66, Indeks FBM Emas menokok 9.98 mata kepada 12,681.02, Indeks FBM Top 100 mengukuh 6.27 mata kepada 12,479.96, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 56.07 mata kepada 12,506.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 99.92 mata kepada 20,047.55, Indeks Perladangan turun 25.66 mata kepada 9,449.97, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.64 mata kepada 188.06 manakala Indeks Tenaga susut 0.24 mata kepada 818.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 2.34 bilion unit bernilai RM3.19 bilion daripada 2.76 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 771.97 juta unit bernilai RM115.92 juta daripada 749.45 juta unit bernilai RM117.20 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 547.35 juta unit bernilai RM191.50 juta daripada 616.21 juta unit bernilai RM226.13 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 318.88 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (251.37 juta), pembinaan (189.97 juta), teknologi (954.53 juta), perkhidmatan kewangan (110.60 juta), hartanah (134.88 juta), perladangan (56.28 juta), amanah pelaburan hartanah (14.08 juta), dana tertutup (34,100), tenaga (110.15 juta), penjagaan kesihatan (71.08 juta), telekomunikasi dan media (40.31 juta), pengangkutan dan logistik (39.28 juta), utiliti (56.47 juta), dan amanah perniagaan (265,900).

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement