THE HAGUE: Seorang penjaga zoo di Belanda meninggal dunia beberapa hari selepas diserang dua ekor harimau bintang di kandangnya di Safari Park Beekse Bergen, selatan negara itu.
Menurut pihak taman safari itu pada Selasa, wanita berkenaan diserang ketika sedang menjaga dua haiwan pemangsa tersebut di sebuah kemudahan tertutup.
Punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan kerana tiada kamera pemantauan dipasang di dalam kandang berkenaan.
Kedua-dua haiwan itu ditempatkan di dalam bangunan tertutup susulan cuaca buruk dan kebiasaannya kakitangan tidak berada berdekatan dengan harimau bintang tersebut.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan leher.
Beliau menjalani pembedahan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada Selasa.
Dalam kenyataannya, pihak zoo memaklumkan, mangsa mula bekerja di Safari Park Beekse Bergen pada usia 17 tahun dan berkhidmat hampir 40 tahun, kecuali beberapa tempoh singkat.
“Penjaga haiwan itu memulakan kerjayanya di Safari Park Beekse Bergen ketika berusia 17 tahun dan bekerja di sini hampir empat dekad,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak zoo turut memaklumkan bahawa satu siasatan bebas akan dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada insiden itu.
Jurucakap taman safari itu memberitahu media tempatan, Omroep Brabant, bahawa kedua-dua harimau bintang terbabit hanya bertindak mengikut naluri semula jadi mereka.
“Mereka adalah dan akan terus menjadi, haiwan pemangsa,” katanya. - Agensi