KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia pulih kembali dan ditutup tinggi sedikit, didorong oleh aktiviti membeli ketika saham berharga murah sebelum urus niaga berakhir, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.02 peratus atau 0.23 mata kepada 1,515.99 daripada 1,515.76 pada penutup Rabu.

Indeks utama dibuka tinggi sebanyak 0.72 mata pada 1,516.48, dan berlegar antara 1,510.64 dan 1,518.61 di sepanjang sesi dagangan hari ini.

Namun begitu, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhannya masih negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 589 berbalas 329 manakala 395 kaunter tidak berubah, 947 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.22 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 2.36 bilion unit bernilai RM1.84 bilion.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup kebanyakannya lebih rendah apabila pelabur menimbang kemungkinan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah pada Mac.

Sementara itu, ketegangan geopolitik di Rusia memberikan tekanan penurunan tambahan terhadap pasaran ekuiti di seluruh dunia.

"Bagi bursa tempatan, kami berpendapat sentimen pelabur akan kekal lemah untuk tempoh yang singkat ini disebabkan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, justeru, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran sekitar 1,510-1,520 menjelang hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Saham untung didahului oleh Kuala Lumpur Kepong yang menokok 22 sen kepada RM21.72, Nestle meningkat 20 sen kepada RM133.00 dan Hartalega menambah 11 sen kepada RM5.60.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank tidak berubah pada RM8.30, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.21, Petronas Chemical turun dua sen kepada RM8.90, IHH meningkat dua sen kepada RM6.38 manakala CIMB susut satu sen kepada RM5.25.

Bagi saham paling aktif, DNeX turun 2.5 sen kepada 92 sen, Hibiscus Petroleum naik sembilan sen kepada 97 sen dan Dataprep Holdings peroleh lima sen kepada 61.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE susut 85.64 mata kepada 5,998.37, FBM 70 merosot 85.04 mata kepada 13,348.23, Indeks FBM Emas turun 16.01 mata kepada 10,872.11, Indeks FBMT 100 jatuh 13.83 mata kepada 10,583.00, dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah sebanyak 23.53 mata kepada 11,546.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 17.22 mata kepada 15,764.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.74 mata kepada 199.55, manakala Indeks Perladangan meningkat 34.20 mata kepada 6,632.18.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion saham bernilai RM1.54 bilion berbanding 1.35 bilion saham semalam bernilai RM1.54 bilion.

Jumlah dagangan waran mengecil kepada 277.33 juta unit bernilai RM35.12 juta daripada 368.75 juta unit bernilai RM34.80 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 499.54 juta saham bernilai RM202.41 juta berbanding 638.41 juta saham bernilai RM261.51 juta pada Rabu.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 195.56 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (381.73 juta), pembinaan (71.32 juta), teknologi (346.12 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (50.89 juta), hartanah (91.50 juta), perladangan (9.56 juta), REIT (4.63 juta), dana tertutup (5,900), tenaga (216.31 juta), penjagaan kesihatan (30.42 juta), telekomunikasi dan media (11.52 juta), pengangkutan dan logistik (24.21 juta ) dan utiliti (9.01 juta).

-- BERNAMA