BISNES
Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.41 mata kepada 1,576.75 daripada 1,576.34 pada Jumaat lepas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan minggu lepas untuk dibuka tinggi hari ini, didorong oleh minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong oleh minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih.
- Sentimen pasaran bercampur dengan lebih banyak kaunter rugi berbanding untung, walaupun indeks utama mencatat kenaikan kecil.
- Sektor pembinaan dan utiliti dijangka terus positif susulan projek pusat data besar oleh IJM di Johor.
Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif sedikit, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 136. Sejumlah 308 kaunter tidak berubah, 1,981 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 83.43 juta saham bernilai RM36.44 juta.
Menjejaki prestasi niaga hadapan indeks Wall Street yang positif, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan akan memulakan minggu ini dengan positif.
"Wall Street secara keseluruhan ditutup rendah pada Jumaat lepas berikutan jualan runcit lemah dan peningkatan mendadak dalam jangkaan inflasi yang memberi tekanan kepada pasaran.
"Dari segi geopolitik, rundingan antara Trump dan Putin di Alaska mengenai pelan damai untuk Ukraine berakhir tanpa sebarang kejayaan walaupun Trump menyatakan sentimen yang optimis.
"Mengikut sektor, kami percaya segmen pembinaan dan utiliti akan terus mencatatkan prestasi lebih baik berikutan IJM baru-baru ini memperoleh projek pusat data terbesar bernilai RM1.4 bilion di Johor, menjadikan jumlah perolehan kontrak kepada RM9.2 bilion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank mendatar pada RM9.80, Public Bank merosot 1.0 sen kepada RM4.44, CIMB berkurangan 3.0 sen kepada RM7.22 manakala Tenaga Nasional menambah 4.0 sen kepada RM13.66 dan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.83.
Bagi senarai yang diniagakan secara aktif, PRG Holdings meningkat 1.0 sen kepada 11 sen, Velesto naik setengah sen kepada 19 sen, NEXG mendatar pada 39.5 sen manakala SFP Tech berkurangan 1.0 sen kepada 14 sen.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas naik 3.75 mata kepada 11,734.81, Indeks FBMT 100 meningkat 4.42 mata kepada 11,517.28, Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.76 mata kepada 11,670.61 dan Indeks FBM Mid 70 menokok 12.78 mata kepada 16,673.46 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 12 mata kepada 4,701.45.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 31.71 mata kepada 18,048.36, Indeks Perladangan naik 14.96 mata kepada 7,518.99, Indeks Tenaga naik 1.20 mata kepada 742.03 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.19 mata kepada 157.53.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami