KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada sesi awal dagangan Isnin, disokong oleh minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih serta seiring dengan sentimen positif di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.87 mata kepada 1,464.30 daripada 1,463.43, pada akhir dagangan Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 0.64 mata kepada 1,464.07.

Selain itu di pasaran meluas juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 306 berbanding 184 manakala 316 kaunter lain tidak berubah, 1,518 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 456.0 juta unit bernilai RM187.33 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi memberangsangkan Wall Street minggu lepas telah menyaksikan minat belian berkemungkinan turut melimpah ke atas saham tempatan, terutamanya kaunter teknologi.

"Kami juga percaya data pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan sepertimana diumumkan pada minggu lepas menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mungkin berpegang kepada kadar faedah semasanya dan memberi sokongan kepada usaha peningkatan pasaran saham.

"Selain itu, bursa tempatan juga dijangka kekal memberangsangkan susulan pelancaran dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing turun 1.0 sen kepada RM9.14 dan RM5.73 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional naik 1.0 sen setiap satu masing-masing kepada RM4.25 dan RM9.93 dan Petronas Chemicals meningkat 2.0 sen kepada RM7.14.

Bagi saham aktif, KNM Group menambah 1.0 sen kepada 10.5 sen; Bumi Armada naik 2.5 sen kepada 55.5 sen, DNex meraih 1.5 sen kepada 48 sen namun JAKS tidak berubah pada 23.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 13.45 mata kepada 10,830.09; Indeks FBMT 100 naik 11.97 mata kepada 10,495.25; Indeks FBM Emas Shariah menambah 18.24 mata kepada 11,016.12 dan Indeks FBM 70 meraih 40.54 mata kepada 14,374.51 sementara Indeks FBM ACE meningkat 9.86 mata kepada 5,218.23.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga menambah 15.38 mata kepada 871.52; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.61 mata kepada 173.15; Indeks Perladangan meningkat 13.94 mata kepada 6,951.64 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 7.51 mata kepada 16,479.12.

-- BERNAMA