Ringkasan AI
- Syarikat penerbangan dijangka menanggung kos pembayaran AS$24.5 bilion untuk jualan AS$1.05 trilion pada 2025, meningkat 10.4 peratus berbanding 2023.
- IATA menyatakan 84.5 peratus daripada kos pembayaran berkaitan fi pembayaran, manakala kad menyumbang yuran tertinggi iaitu purata 2.53 peratus setiap urus niaga.
- IATA sedang meneroka penyelesaian pembayaran alternatif kos rendah dan meningkatkan ketelusan untuk membantu syarikat penerbangan menjana pendapatan serta mengurangkan kerugian.
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan di seluruh dunia menanggung kos pembayaran berjumlah AS$24.5 bilion untuk memproses jualan bernilai AS$1.05 trilion pada 2025 iaitu peningkatan 10.4 peratus dalam jumlah kos berbanding 2023, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, IATA memaklumkan peningkatan itu melebihi pertumbuhan keseluruhan jualan perjalanan dalam tempoh yang sama dan ia meningkat 7.7 peratus daripada AS$977 bilion pada 2023.
IATA memberitahu kos pembayaran purata ialah AS$5 bagi setiap penumpang pada 2025, berbanding unjuran keuntungan bersih IATA sebanyak AS$4.50 bagi setiap penumpang untuk syarikat penerbangan pada 2026.
Ketua Pengarah Interim merangkap Ketua Pegawai Kewangan IATA Sandrine Le Borgne berkata industri penerbangan sangat kompetitif, memerlukan modal yang besar dan beroperasi dengan margin keuntungan yang rendah sekali gus menjadi satu keperluan untuk meneliti dengan rapi setiap komponen kos.
“Peningkatan kos urus niaga pembayaran yang lebih pantas berbanding perolehan industri adalah tidak mampan meskipun kemajuan teknologi yang ketara telah dicapai. Keadaan ini menyerlahkan keperluan kritikal untuk meningkatkan kecekapan kos,” katanya.
IATA memberitahu analisis lanjut terhadap kos pembayaran berjumlah AS$24.5 bilion itu menunjukkan bahawa AS$20.7 bilion atau 84.5 peratus daripada jumlah keseluruhan berkaitan dengan fi pembayaran atau kos langsung bagi melengkapkan setiap urus niaga.
“Sebanyak AS$2.9 bilion lagi atau 11.8 peratus adalah berkaitan dengan kos kendalian syarikat penerbangan termasuk sistem pembayaran, aliran tunai tertangguh, kakitangan dan pematuhan manakala AS$0.9 bilion rugi akibat penipuan atau jualan yang tidak dikutip.
“Kad menyumbang kepada kos tertinggi bagi setiap urus niaga dengan purata yuran pembayaran sebanyak 2.53 peratus berbanding anggaran purata keseluruhan iaitu 1.97 peratus,” tambah kenyataan itu.
IATA memberitahu pilihan pembayaran dengan kos terendah adalah pada kadar 0.01 peratus.
Persatuan itu menjelaskan pihaknya sedang meneroka beberapa penyelesaian bagi meningkatkan kecekapan pembayaran termasuk pengenalan bentuk pembayaran alternatif dengan kos lebih rendah untuk penumpang serta meningkatkan ketelusan terhadap kos penggunaan kad agensi.
Tinjauan Penumpang Global 2025 yang dijalankan oleh IATA mendapati 29 peratus penumpang memilih untuk menggunakan dompet digital manakala lapan peratus memilih penyelesaian pembayaran segera tempatan.
Le Borgne berkata penyediaan kaedah pembayaran alternatif kepada penumpang juga dapat membantu syarikat penerbangan menjana pendapatan.
“Kira-kira satu daripada lima percubaan pembelian perkhidmatan tambahan tidak berjaya diselesaikan kerana pembayaran awal ditolak dan tiada kaedah pembayaran lain ditawarkan.
“Penyediaan lebih banyak pilihan pembayaran berpotensi membantu syarikat penerbangan memperoleh semula sebahagian daripada peolehan yang hilang ini,” katanya.
-- BERNAMA