Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sarawak kekal komited capai sasaran litupan hutan 62 peratus

Sarawak mempunyai keluasan tanah 12.4 juta hektar merangkumi kawasan hutan yang luas serta kaya dengan kepelbagaian biologi. - Gambar hiasan
Sarawak mempunyai keluasan tanah 12.4 juta hektar merangkumi kawasan hutan yang luas serta kaya dengan kepelbagaian biologi. - Gambar hiasan

Advertisement

KUCHING: Sarawak kekal komited untuk mengekalkan litupan hutan sebanyak 62 peratus daripada keseluruhan keluasan tanahnya, sambil memperluas inisiatif tenaga boleh baharu bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, negeri itu mempunyai keluasan tanah 12.4 juta hektar merangkumi kawasan hutan yang luas serta kaya dengan kepelbagaian biologi, yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan mampan.

“Komitmen itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030, yang mengutamakan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Persidangan Pendidikan Alam Sekitar Antarabangsa 2026 di sini pada Selasa.

Awang Tengah berkata, Sarawak menetapkan sasaran enam juta hektar bagi Hutan Simpanan Kekal dan satu juta hektar bagi kawasan perlindungan sepenuhnya untuk melindungi kepelbagaian biologi, habitat semula jadi dan kawasan tadahan air.

Beliau berkata, litupan hutan negeri itu turut menyumbang kepada komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara di bawah litupan hutan.

“Kami mempunyai kawasan yang luas di Sarawak. Saya berpendapat, lebih 1.2 juta hektar daripada keseluruhan tanah diperuntukkan untuk kawasan Jantung Borneo,” katanya.

Awang Tengah ketika menyentuh cabaran alam sekitar serantau menggesa kerjasama antarabangsa yang lebih erat bagi menangani jerebu rentas sempadan, sambil menyatakan bahawa asap yang dibawa angin dari kawasan jiran boleh menjejaskan Sarawak.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement