Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Jangan biar teknologi mendahului kesediaan penjawat awam berubah

MOHD BAKHARI: Jangan biarkan teknologi bergerak lebih pantas daripada kesediaan kita untuk berubah. - Gambar fail/BERNAMA
MOHD BAKHARI: Jangan biarkan teknologi bergerak lebih pantas daripada kesediaan kita untuk berubah. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

PUTRAJAYA: Kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya mengatasi kesediaan penjawat awam untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sehingga menjejaskan kesejahteraan mental dan nilai kemanusiaan dalam persekitaran kerja.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail berkata, perkembangan pesat teknologi digital menuntut penjawat awam bukan sahaja meningkatkan kemahiran, malah bijak mengurus tekanan, menjaga kerahsiaan maklumat dan mengekalkan hubungan baik sesama rakan sekerja.

Beliau berkata, meskipun teknologi mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, aspek empati, etika dan kesejahteraan psikologi tidak boleh diketepikan dalam usaha mempercepat transformasi digital sektor awam.

“Jangan biarkan teknologi bergerak lebih pantas daripada kesediaan kita untuk berubah. Sebaliknya, jadilah insan yang mampu memimpin perubahan teknologi dengan nilai, etika dan kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam sempena perasmian Konvensyen Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kebangsaan 2026.

Konvensyen dua hari yang bermula semalam menghimpunkan lebih 400 ahli AKRAB daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan seluruh negara bagi memperkukuh peranan mereka sebagai sistem sokongan psikologi kepada penjawat awam.

Bertemakan “AKRAB Menerajui Perubahan Era Digital” dengan slogan “Digital Beretika, Mental Terpelihara”, konvensyen itu turut memberi tumpuan kepada cabaran baharu seperti lambakan maklumat, penyebaran berita palsu, ancaman keselamatan dan privasi data serta tekanan akibat penggunaan teknologi secara tidak terkawal.

Dalam perkembangan sama, Pelan Strategik AKRAB 2026-2030 dilancarkan bagi memperkukuh kompetensi ahli, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan sokongan dan memperluas jaringan kerjasama strategik antara agensi kerajaan.

Sementara itu, Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK), Mohd Afendi Ya@Zakaria berkata, transformasi digital bukan sekadar menuntut penguasaan teknologi tetapi juga kebijaksanaan memahami keperluan manusia dalam menghadapi perubahan persekitaran kerja.

Beliau berkata, ahli AKRAB perlu terus memainkan peranan membantu rakan sekerja mengurus tekanan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan membina daya tahan psikologi, selain memberikan sokongan awal serta membuat rujukan kepada pihak profesional apabila diperlukan.

Menurut beliau, penggunaan platform digital dalam perkhidmatan sokongan psikologi juga perlu mengekalkan elemen empati, kemahiran mendengar, kerahsiaan dan sentuhan kemanusiaan.

Konvensyen itu turut menampilkan sesi perkongsian bersama pemenang Anugerah AKRAB 2026, Town Hall AKRABSihat dan AKRAB Borak Cakna (ABC), selain merangka resolusi bagi memperkukuh peranan AKRAB dalam mewujudkan persekitaran kerja sektor awam yang lebih sihat, inklusif dan sejahtera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement