Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia perlu beralih daripada pengguna kepada pembangun teknologi sendiri - Chang Lih Kang

Datuk Chang Lih Kang berkata, dalam landskap teknologi global yang berkembang pesat, keupayaan negara untuk menghasilkan teknologi tempatan menjadi faktor penting dalam meningkatkan daya saing dan menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi. - Gambar fail
Datuk Chang Lih Kang berkata, dalam landskap teknologi global yang berkembang pesat, keupayaan negara untuk menghasilkan teknologi tempatan menjadi faktor penting dalam meningkatkan daya saing dan menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bergerak lebih pantas dan bersepadu dalam pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi memastikan negara bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berupaya membangunkan, menguasai serta mengkomersialkan teknologi sendiri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, dalam landskap teknologi global yang berkembang pesat, keupayaan negara untuk menghasilkan teknologi tempatan menjadi faktor penting dalam meningkatkan daya saing dan menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Menurut beliau, pembangunan STI negara memerlukan komitmen bersama semua pihak menerusi pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem inovasi, memperkukuh bakat tempatan serta memperluas penerimagunaan teknologi berdasarkan keperluan dan potensi ekonomi negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) Bilangan 2 Tahun 2026, di sini, pada Selasa.

Chang berkata, Mesyuarat MEXCO-STI adalah platform penting untuk memperkukuh penyelarasan dasar, strategi dan pelaksanaan agenda STI antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan sektor itu dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Selain itu, antara fokus utama mesyuarat adalah pendekatan bagi menghadapi cabaran dan isu Malaysia dijangka beralih status menjadi negara menua menjelang 2048.

Pendekatan yang diketengahkan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) pada kali ini berbentuk inisiatif transformatif yang menggabungkan elemen STI untuk memperkasakan warga emas, mewujudkan perniagaan berteknologi tinggi serta memelihara dan mengkomersialkan Pengetahuan Tradisional (TK).  

Mesyuarat juga membincangkan pemerkasaan dan penjanaan ekonomi berasaskan inovasi, terutama kepada golongan nelayan melalui Program Penjanaan Pendapatan Nelayan Melalui Ekonomi Kitaran yang merangkumi sekurang-kurangnya 30 lokasi yang dikenal pasti di seluruh Semenanjung melalui inisiatif yang dibawakan oleh Bioeconomy Corporation (BEC) pada 2027. 

Dalam pada itu, Chang berkata MOSTI sedang menyelaras persediaan bagi Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 24 Nov ini dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pandangan serta input yang dibincangkan dalam Mesyuarat MEXCO-STI turut dibawa ke platform berkenaan bagi memperkukuh dasar dan hala tuju pembangunan STI negara.

Chang ketika mengulas usaha memperkukuh budaya STI dalam kalangan rakyat berkata, Program Malaysia Techlympics yang dilaksanakan oleh MOSTI berjaya menyantuni 3.18 juta anak muda di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran asal 1.8 juta peserta.

“Keputusan ini menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap bidang STI dalam kalangan generasi muda, hasil sokongan berterusan kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, dalam aspek pengkomersialan inovasi, Chang berkata Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Nasional (NICE) 2026 mencatatkan penyertaan lebih 12,000 pengunjung, melibatkan 180 pempamer serta 235 sesi padanan perniagaan.

Beliau bagaimanapun berkata, kejayaan sebenar ekosistem inovasi negara tidak hanya diukur melalui jumlah penyertaan program tetapi berdasarkan sejauh mana hasil penyelidikan dapat dikomersialkan, mewujudkan peluang ekonomi baharu dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan pembangunan STI tidak boleh dilaksanakan secara berasingan, sebaliknya memerlukan penyelarasan yang lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan pelaburan, kepakaran serta infrastruktur STI dapat dimanfaatkan secara optimum tanpa pertindihan usaha dan pembaziran sumber.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement