KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, didorong sentimen positif susulan prestasi kewangan suku pertama Nvidia dan kenaikan tarif ke atas produk China yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.88 mata kepada 1,625.97 daripada 1,622.09 ketika ditutup pada Selasa.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Wesak.

Indeks barometer itu dibuka 1.43 mata lebih rendah kepada 1,620.66.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 273 berbanding 189, manakala 358 kaunter tidak berubah, 1,569 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 288.40 juta saham bernilai RM137.15 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd prestasi kewangan pembuat cip AS, Nvidia dan tarif AS yang lebih tinggi diijangka memberikan sokongan pembelian yang baik dalam pasaran saham dan mungkin sebagai petanda baik bagi sektor perkhidmatan pembuatan teknologi dan elektronik.

"Selain itu, kami berpendapat industri pembinaan, bahan binaan, hartanah dan solar dijangka mencatatkan dagangan lebih tinggi susulan potensi penyambungan semula projek infrastruktur mega seperti Kereta Apli Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) serta keyakinan terhadap pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu," jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Firma pembrokeran itu turut menjelaskan di AS, sentimen pasaran keseluruhan bertukar negatif selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) menunjukkan tekanan inflasi kekal berterusan dan pasaran telah sedia mempertimbangkan kemungkinan Fed mengekalkan pendirian cenderung kepada kadar faerah tinggi dalam tempoh terdekat.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank menambah satu sen kepada RM10.00, Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM12.86, CIMB menokok enam sen kepada RM6.90, Public Bank tidak berubah pada RM4.19 dan Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM7.01.

Bagi saham aktif, Ingenieur dan Malayan United masing-masing tidak berubah pada tujuh sen dan enam sen, AHB Holdings susut setengah sen kepada 17.5 sen, Sin-Kung merosot satu sen kepada 14 sen manakala JCY International menambah 2.5 sen kepada 41.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.64 mata kepada 12,392.48, Indeks FBMT 100 menokok 34.28 mata kepada 11,985.53, Indeks FBM 70 melonjak 73.96 mata kepada 17,802.13, Indeks FBM ACE menambah 14.02 mata kepada 5,437.39 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 25.33 mata kepada 12,615.54.

Berdasarkan sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 53.74 mata kepada 17,746.81, Indeks Perladangan naik 10.28 mata kepada 7,300.95 dan Indeks Tenaga meningkat 0.43 mata kepada 994.22.

Walau bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.17 mata kepada 196.50.

-- BERNAMA