KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Malaysia merupakan antara yang paling optimis mengenai prospek ekonomi global pada 2022 berbanding rakan setara mereka di Asia Pasifik, menurut dapatan terkini oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Kaji Selidik CEO Global Tahunan - Asia Pasifik Ke-25 PwC, dengan 4,446 CEO global sebagai responden antara Oktober - November 2021, mendapati keyakinan semakin meningkat di kebanyakan negara di Asia Pasifik, dengan 76% daripada responden menjangka pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada tahun akan datang.

Ia turut menunjukkan bahawa kira-kira 92% daripada CEO di Malaysia optimis bahawa pertumbuhan ekonomi global akan berubah dalam tempoh 12 bulan akan datang, memberikan prospek yang baik kepada negara. 

"Malaysia berada hampir selepas India (94%), dengan Singapura hanya di belakang Malaysia (91%), bagaimanapun, CEO di China berasa kurang optimis berbanding tahun lepas, merosot sembilan mata kepada 62%.

“Tiada apa-apa yang “normal” mengenai dunia, dan kita sedang membiasakannya.  

“Kami menyaksikan perbezaan dari segi keyakinan antara negara, dan tiada kekurangan cabaran untuk menghadapinya tetapi adalah menggalakkan apabila CEO yang kami temu bual secara keseluruhannya positif mengenai 2022,” kata Pengerusi PwC Global Bob Moritz dalam kenyataan pada Khamis.

Walaupun 50% daripada CEO ‘amat yakin’ mengenai  prospek pertumbuhan pendapatan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, mereka turut menyedari mengenai potensi ancaman yang boleh memberi impak kepada syarikat mereka.

Dalam kalangan CEO Malaysia, kebimbangan mengenai turun naik makroekonomi mendahului senarai ancaman sebanyak 76% dalam persekitaran risiko yang semakin meningkat dalam ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat dan pelarasan dasar monetari dalam ekonomi utama, diikuti risiko kesihatan (69%) dan risiko siber (67%).  

Sementara itu, CEO Asia Pasifik mendahului rakan setara mereka di peringkat global dari segi komitmen sifar bersih dan neutral karbon berikutan 60 hingga 69% daripada mereka telah menyatakan atau meningkatkan komitmen terhadap sifar bersih dan/atau neutral karbon.

Selain itu, sebanyak 77% daripada CEO Asia Pasifik didapati pendekatan mereka telah dinilai dan disahkan secara bebas.

Jumlah yang lebih tinggi daripada CEO Asia Pasifik (43% berbanding 37% daripada CEO global) turut menetapkan sasaran pelepasan dalam strategi mereka.

*Berita asal di DagangNews.com