Pemulihan Berbentuk-K kemungkinan besar berlaku terutamanya selepas wabak COVID-19 melanda di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Disebabkan itu, kerajaan, perniagaan, masyarakat dan individu harus menyesuaikan hala tuju dan strategi mereka untuk memanfaatkan pemulihan Berbentuk-K atau sekurang-kurngnya mengatasi impaknya.

Pemulihan Berbentuk-K muncul kerana transformasi digital dan dipercepatkan oleh pandemik COVID-19 yang akhirnya menimbulkan ribut sempurna di persekitaran sosial dan ekonomi negara.

Pemulihan Berbentuk-K didefinisikan sebagai kemerosotan ekonomi membabitkan semua industri kerana bencana besar seperti pandemik COVID 19.

Seterusnya, corak pemulihan akan dibahagikan kepada dua hala. Satu hala menuju ke pemulihan sementara daripada krisis yang dilanda teruk. Walau bagaimanapun, corak pemulihan ini tidak akan bertahan lama dan akhirnya akan pudar dan pupus selama-lamanya.

Sebaliknya, hala tuju ekonomi yang satu lagi akan terus memecut ke tahap yang sukar dipercayai. Itulah sebabnya senario ini dipanggil sebagai pemulihan Berbentuk-K.

Kita berada di persimpangan abad iaitu dengan transformasi digital yang digabungkan dengan pandemik COVID-19.

Corak pemulihan yang normal seperti berbentuk-U, berbentuk-V mungkin bukan lagi jawapannya di masa depan dan pemulihan Berbentuk-K dijangkakan menjadi norma baharu.

Sebelum wabak COVID-19 melanda, kita sudah menghadapi transformasi digital atau revolusi industri 4.0 dan ketika itu, beberapa industri tanpa mengira korporat, perniagaan, atau individu telah mengalami kesulitan.

Pihak yang terlibat mengalami kehilangan pendapatan mereka atau ada yang berhadapan dengan pengurangan pendapatan dan muflis.

Malangnya, individu yang paling terjejas adalah mereka yang berusia 50-an dan ke atas yang biasanya mempunyai tanggungjawab dan komitmen keluarga yang tinggi (dengan orang tua dan anak-anak untuk ditanggung).

Sebilangan besar daripada mereka bukan sahaja tidak dapat manfaat bahkan tidak dapat menyesuaikan diri dengan semua jenis inovasi dan transformasi digital baharu yang dialami.

Baru-baru ini, saya berjumpa dengan seorang pemandu teksi pada lewat petang dan dia mengadu bahawa saya adalah pelanggannya yang pertama sepanjang hari sejak dia mula bekerja pada waktu pagi.

Transformasi digital telah menghapuskan industri tertentu, malah gangguan transformasi digital akan menjadi lebih ketara pada masa akan datang dengan penemuan baharu dan pelaburan besar-besaran dalam bidang ini.

Sebaliknya, beberapa industri tradisional akan menjadi lebih rentan daripada sebelumnya.
 
Ketika kerajaan merancang inisiatif atau bantuan untuk membantu pihak yang terkesan akibat transformasi digital, pandemik COVID-19 yang melanda ini telah memusnahkan sebahagian usaha yang sudah dijalankan oleh kerajaan selama ini.

Tambahan pula, industri yang terjejas teruk ini berkemungkinan besar tidak dapat diselamatkan lagi.

Sebelum ini, kerajaan juga mengesahkan bahawa akibat daripada pendamik ini, sebahagian rakyat dari golongan T20 jatuh ke M40 dan sebahagian dari M40 jatuh ke B40 dan golongan B40 berkembang menjadi lebih besar sehingga membentuk golongan B50.

Pada pendapat saya, transformasi digital adalah bencana bagi kebanyakan orang sekiranya negara tidak mempunyai dasar atau strategi yang berkesan.

Bagaimanapun, memang tidak boleh dinafikan bahawa transformasi digital adalah masa depan dan memberi peluang besar kepada kita.

Saya dapat menjangkakan kewujudan jurang pendapatan akan semakin luas, kumpulan rentan semakin sukar dan kemerosotan dalam pengumpulan kekayaan jika transformasi digital tidak diuruskan dengan berkesan.

Persoalannya, adakah kerajaan harus meneruskan pemberian bantuan kepada industri yang terjejas dan kurang lestari atau melaksanakan strategi berani iaitu memperjuangkan industri pertumbuhan yang mampan dan tinggi berdasarkan daya saing negara kita?

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihation Rakyat yang telah diberikan oleh kerajaan pada bulan Mac 2020 ketika wabak COVID-19 melanda, kekuatan fiskal untuk terus membantu industri yang terjejas sangat terhad dan tidak mendatangkan kesan yang besar.

Kini, negara menghadapi masa dan sumber yang terhad, justeru kerajaan harus menyedari fakta pemulihan Berbentuk-K, melaksanakan strategi berani untuk jangka panjang dengan sedikit pengorbanan jangka pendek.

Di seluruh negara tanpa mengira kerajaan atau swasta, kita harus melepaskan industri tertentu kerana harapan mereka pada masa akan datang sangat terhad.

Pelaburan berterusan dalam industri ini hanya akan memberikan hasil yang tidak lestari dan akhirnya segala usaha akan dimusnahkan seperti yang ditunjukkan dalam pemulihan Berbentuk-K.

Pada masa genting seperti ini, kita memerlukan pemimpin yang berkaliber dan bekerjasama dengan pihak swasta untuk membuat keputusan wajar dan tepat seperti melepaskan industri yang tidak lestari dan memperjuangkan industri yang akan berkembang.

Sudah tentu masyarakat yang terjejas harus diberi bantuan lain seperti Bantuan Prihatin Nasional agar mereka dapat mengambil bahagian dalam industri yang berkesinambungan dan berkembang pesat ini.

Malaysia kini berada di persimpangan jalan untuk memantapkan strategi untuk menangani cabaran pemulihan Berbentuk-K.

Diharap pemimpin dan pihak swasta dapat membuat keputusan yang tepat pada masa akan datang supaya segala masyarakat dapat menangani cabaran yang dihadapi. 



* Penulis ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.