SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan memberi fokus untuk melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu melalui Bajet 2023 yang akan dibentang pada 7 Oktober ini bagi memperkasakan sistem perkhidmatan awam negara.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, permintaan ini selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam pada 30 Ogos lalu untuk menyegerakan kajian ke atas SSPA supaya ia boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.

“SSPA baharu perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan melibatkan saraan dan perkhidmatan agar kekal relevan dengan keperluan semasa penjawat awam.

“Pelaksanaan SSPA ini perlu merangkumi aspek gaji minimum yang baharu sesuai dengan peningkatan kos sara hidup semasa serta keperluan latihan dan pembangunan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kedua-dua perkara tersebut perlu selari bagi memastikan penjawat awam dapat menyampaikan sistem perkhidmatan awam dengan lebih berkesan kepada rakyat yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Adnan, ketika ini sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam bagi mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.

“Apatah lagi dengan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh kerajaan telah menjadikan kelayakan memasuki perkhidmatan kerajaan ketika ini adalah minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan had gaji permulaannya boleh ditingkatkan.

“Cuepacs yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam dengan diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan harga rumah serta kejatuhan mata wang memerlukan penetapan gaji minimum baharu di atas pendapatan garis kemiskinan (PGK).

“Usaha ini juga dilihat mampu mengurangkan tekanan kepada penjawat awam yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Cuepacs yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri yang sentiasa bersama penjawat awam boleh melaksanakan agenda memperkasakan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Menurutnya, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat meluluskan dengan segera peruntukan tambahan bagi penebusan awal anugerah wang tunai gantian cuti rehat (GCR).

Adnan berkata, pihaknya mendapati peruntukan setiap kementerian dan jabatan bagi menebus GCR 80 hari seperti yang telah dikuatkuasakan tidak mencukupi dan habis digunakan.

“Keperluan peruntukan tambahan perlu disegerakan bagi tujuan tersebut untuk memberi peluang kepada penjawat awam yang memerlukannya,” katanya. -- Sinar Harian