Ringkasan AI
- Nicolas Sarkozy dan isterinya, Carla Bruni-Sarkozy, akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mempengaruhi saksi dalam kes pembiayaan kempen pilihan raya.
- Pertuduhan melibatkan penarikan balik kenyataan oleh Ziad Takieddine, yang sebelum ini mendakwa kempen Sarkozy menerima dana besar daripada kerajaan Libya.
- Sarkozy sebelum ini dijatuhi beberapa hukuman penjara berkaitan kes pembiayaan kempen dan cubaan merasuah hakim, namun menafikan sebarang salah laku.
PARIS: Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, bersama isterinya, Carla Bruni-Sarkozy, akan dihadapkan ke mahkamah tahun depan atas tuduhan berkaitan usaha mempengaruhi seorang saksi utama dalam kes pembiayaan kempen pilihan raya yang dikaitkan dengan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Menurut media Perancis, pertuduhan itu tertumpu kepada penarikan balik kenyataan oleh ahli perniagaan Libya, Ziad Takieddine, yang sebelum ini mendakwa memiliki bukti bahawa kempen presiden Sarkozy pada 2007 menerima dana dalam jumlah besar daripada kerajaan Libya.
Takieddine pada 2020 menarik balik dakwaan tersebut menerusi satu wawancara, namun pihak penyiasat kemudian menyifatkan perubahan keterangannya sebagai tidak ikhlas dan membuka siasatan baharu yang dikenali sebagai operasi "Save Sarko".
Sarkozy dan Bruni-Sarkozy berdepan tuduhan membentuk pakatan jenayah untuk melakukan penipuan serta memperoleh manfaat daripada usaha mempengaruhi saksi. Kedua-duanya menafikan sebarang salah laku.
Kes itu berkait rapat dengan siasatan lebih besar mengenai dakwaan pembiayaan kempen Sarkozy oleh Libya ketika beliau bertanding dan memenangi pilihan raya presiden pada 2007.
Pada September tahun lalu, Sarkozy dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah dalam kes tersebut.
Beliau menjadi bekas presiden Perancis pertama yang menjalani hukuman penjara, walaupun hanya menghabiskan sekitar 20 hari di penjara sebelum menjalani baki hukuman di bawah syarat yang ditetapkan mahkamah. Keputusan rayuannya dijangka diumumkan minggu depan.
Sejak tewas dalam pilihan raya presiden 2012, Sarkozy berdepan beberapa siasatan dan perbicaraan jenayah berprofil tinggi.
Pada 2024, beliau dijatuhi hukuman penjara setahun, termasuk enam bulan yang digantung, selepas didapati bersalah dalam kes pembiayaan tidak sah kempen pemilihan semulanya pada 2012.
Sebelum itu, pada 2021, Sarkozy turut disabitkan bersalah kerana cuba merasuah seorang hakim.
Beliau dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, dengan dua tahun daripadanya digantung, dan dibenarkan menjalani hukuman di rumah menggunakan peranti pemantauan elektronik.
Ziad Takieddine, yang meninggal dunia tahun lalu, sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti bertulis bahawa kempen Sarkozy menerima kira-kira €50 juta daripada Libya dan pembayaran itu berterusan selepas Sarkozy memegang jawatan presiden.
Sarkozy secara konsisten menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Bruni-Sarkozy juga menafikan terbabit dalam sebarang usaha mempengaruhi saksi atau menghalang proses keadilan.