Ringkasan AI
- Emir Daura, Umar Farouk Umar, telah digantung daripada semua tugas rasmi susulan dakwaan gangguan seksual terhadap seorang pelancong wanita dari Poland.
- Kerajaan negeri Katsina menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat insiden tersebut dan akan melaksanakan semua syor yang dikemukakan bagi memastikan keadilan.
- Setakat ini, Umar belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan atau penggantungan tugasnya, manakala butiran siasatan tidak didedahkan.
ABUJA: Emir Daura, Umar Farouk Umar, digantung daripada semua tugas rasmi dan perjalanan luar selepas berdepan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelancong wanita dari Poland.
Menurut laporan BBC, wanita berkenaan mendakwa pemerintah tradisional berusia 92 tahun itu menyentuh bahagian dadanya ketika lawatan ke istana Emir Daura pada 14 November lalu, menyebabkan beliau berasa tidak selesa dan terkejut dengan kejadian tersebut.
Dakwaan itu tular di media sosial dan mencetuskan desakan supaya siasatan dijalankan serta Umar digantung tugas sementara.
Kerajaan negeri Katsina kemudian mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden berkenaan. Gabenor Katsina, Dikko Umaru Radda, berkata kerajaan memandang serius dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan berdasarkan hasil siasatan.
Menurut kenyataan kerajaan negeri, semua syor yang dikemukakan jawatankuasa itu akan dilaksanakan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Bagaimanapun, butiran mengenai keanggotaan jawatankuasa, skop siasatan dan tempoh penyerahan laporan tidak didedahkan.
Setakat ini, Umar belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan berkenaan mahupun penggantungan tugasnya.
BBC melaporkan wanita terbabit memuat naik video kejadian itu di Instagram sebelum ia dipadamkan.
Rakaman tersebut didakwa menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai emir berkenaan memegang tangannya sebelum wanita itu kedengaran meminta perbuatan itu dihentikan.
Umar merupakan Emir Daura sejak 2007 dan dianggap antara pemerintah tradisional paling berpengaruh di utara Nigeria.
Daura pula mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah masyarakat Hausa dan sering menjadi tumpuan pemimpin politik yang mendapatkan restu serta sokongannya.