GAZA: Ketua perkhidmatan keselamatan dalaman Hamas, Naeem Abu Nahel, terbunuh dalam serangan udara Israel di barat Bandar Gaza, menurut pihak berkuasa Gaza dan kerajaan Israel.
Menurut laporan BBC yang memetik Kementerian Dalam Negeri Gaza, Abu Nahel, 50, menjadi sasaran serangan dron ketika berada berhampiran kawasan perlindungan penduduk yang dipindahkan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, mengesahkan Abu Nahel telah "dihapuskan" dalam operasi ketenteraan itu.
Sekurang-kurangnya enam lagi rakyat Palestin turut terbunuh dalam dua serangan berasingan di Wadi Gaza dan al-Mawasi, termasuk seorang remaja lelaki serta dua anggota polis Gaza.
Tentera Israel mendakwa semua serangan tersebut menyasarkan anggota yang terlibat dalam aktiviti ketenteraan, manakala polis Gaza menuduh Israel sengaja menyasarkan pasukan keselamatan bagi mewujudkan keadaan tidak stabil di wilayah itu.
Menurut tentera Israel, Abu Nahel mempunyai peranan penting dalam operasi keselamatan dalaman Hamas dan didakwa terlibat dalam serangan terhadap tentera serta orang awam Israel sepanjang konflik yang berlangsung.
Kementerian Dalam Negeri Gaza pula menyatakan pembunuhan Abu Nahel berlaku selepas agensi itu berjaya mengekang kumpulan yang didakwa bekerjasama dengan Israel.
Laporan BBC menyebut keganasan masih berterusan walaupun Israel dan Hamas mencapai gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,679 orang terbunuh dalam tempoh 13 bulan lalu, manakala Israel melaporkan enam tenteranya maut sepanjang tempoh sama.
Konflik di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang. Sejak itu, lebih 74,740 penduduk Gaza terbunuh akibat serangan Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.