KUALA LUMPUR: Pemaju hab teknologi, Cyberview Sdn Bhd melantik Kamarul Ariffin Abdul Samad sebagai ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa 14 Ogos, 2023.

Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan pengurus besar Sime Darby Property Selatan Sdn Bhd dan bertanggungjawab menguruskan projek Malaysia Vision Valley di Negeri Sembilan, kata Cyberview dalam satu kenyataan semalam.

"Saya berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk berkongsi pengalaman saya dengan pasukan sambil kami berusaha gigih untuk menjayakan pelan induk Cyberjaya yang dilancarkan pada 2019.

"Walaupun ada kemajuan, dan kita melihat pelbagai usaha yang dilakukan untuk menarik pelaburan langsung asing teknologi dan pelaburan langsung domestik membuahkan hasil, namun masih terdapat potensi besar untuk memajukan pembangunan Cyberjaya," kata Kamarul Ariffin dalam kenyataan tersebut.

Semasa berkhidmat dengan Sime Darby Property Bhd beliau memegang pelbagai jawatan utama antaranya dalam unit pembangunan perniagaan, perancangan strategik dan pelaburan korporat dan perniagaan.

Kamarul Ariffin pernah menyandang jawatan sebagai ketua pegawai perhubungan strategik bagi Battersea Power Station Development Company Ltd di London, yang mewakili konsortium Malaysia terdiri daripada Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan pengarah dalam lebih 25 syarikat Sime Darby Property di pelbagai negara dan wilayah antaranya di Malaysia, United Kingdom, Hong Kong, Australia dan Vietnam.

Cyberview berkata pengalaman luas Kamarul Ariffin lebih 30 tahun dalam pelbagai bidang akan memantapkan peranan syarikat itu dalam membentuk masa depan Malaysia yang inovatif, menerusi Cyberjaya, yang merupakan lokasi pelaburan teknologi pilihan dan hab teknologi global.

-- BERNAMA