Ringkasan AI
- Presiden dan CEO TNB menegaskan peralihan tenaga Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar pengembangan tenaga boleh baharu, termasuk kesiapsiagaan grid dan pelaburan infrastruktur.
- Perbincangan di Pavilion Malaysia sempena COP31 menumpukan usaha mempercepat pembangunan TBB, memperkukuh grid, dan memajukan kesalinghubungan elektrik serantau melalui Grid Tenaga ASEAN.
- TNB komited bekerjasama dengan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan serantau untuk merealisasikan peralihan tenaga negara secara praktikal dan mampan.
KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB), kesediaan grid, pelaburan infrastruktur dan kerjasama serantau, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Menurutnya, ia amat penting bagi menterjemahkan aspirasi itu kepada kemajuan yang nyata.
Beliau memaklumkan rangkaian elektrik yang boleh dipercayai dan berdaya tahan disokong oleh penyimpanan tenaga, pendigitalan serta kerjasama lebih erat dalam sektor tenaga, amat penting bagi merealisasikan peralihan tenaga negara.
Menurut hantaran TNB di media sosial, Shamsul menyampaikan pembentangan pembukaan dan menyertai perbincangan panel peringkat tinggi bertajuk “Merealisasikan Peralihan Tenaga Malaysia: Memperluas Tenaga Bersih, Memperkukuh Fleksibiliti Grid dan Memacu Kesalinghubungan Serantau”.
Pembentangan itu dilakukan di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31).
Sesi itu dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta turut dihadiri Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.
Sesi berkenaan turut menghimpunkan wakil kanan kerajaan, pemimpin industri dan pihak berkepentingan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia), Datuk Hamzah Hussin serta wakil daripada Gentari, UEM Lestra dan Sarawak Energy.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pembangunan TBB, memperkukuh kesiapsiagaan dan fleksibiliti grid, menggerakkan pelaburan mampan serta memajukan kesalinghubungan elektrik serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN (APG).
APG merupakan inisiatif ASEAN untuk menghubungkan rangkaian elektrik negara-negara anggota sekali gus membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan serta memperkukuh keterjaminan tenaga serantau, daya tahan sistem dan integrasi TBB.
Shamsul berkata ukuran sebenar peralihan tenaga bukanlah pada aspirasi yang diumumkan tetapi pada kemajuan yang berjaya dicapai.
Menurut beliau, menerusi kerjasama berterusan dengan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan serantau, TNB kekal komited untuk menterjemahkan aspirasi peralihan tenaga Malaysia kepada penyelesaian praktikal yang menyokong masa depan tenaga lebih bersih, berdaya tahan dan mampan.
-- BERNAMA