KUALA TERENGGANU: Satu prosedur operasi standard (SOP) khusus perlu diwujudkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengendalikan kesalahan jenayah syariah berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara lebih teratur dan berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata SOP itu penting bagi memperjelas tatacara penguatkuasaan dan pendakwaan memandangkan peruntukan undang-undang sedia ada menggunakan bahasa perundangan yang panjang serta teknikal.
"Justeru, untuk memudahkan operasi dan pemahaman tatacara dan prosedur, satu SOP memang diperlukan bagi menghalusi lagi langkah-langkah penguatkuasaan dan pendakwaan," katanya pada sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Yusop Majid (Bersatu-Permaisuri) mengenai langkah dilakukan pihak berkuasa Terengganu bagi membasmi amalan songsang atau penglibatan LGBT dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu.
Muhammad Khalil berkata kesemua peruntukan menyentuh tentang kesalahan dilakukan golongan LGBT sama ada yang terdapat dalam Kanun Keseksaan atau dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri perlu diteliti semula untuk tujuan penambahbaikan dan seterusnya dikuatkuasakan secara maksimum.
"Pada masa sama, keseksaan ataupun hukuman melalui mekanisme perundangan wajar dilihat sebagai satu kaedah pencegahan daripada melakukan sesuatu kesalahan dan pembalasan selepas melakukannya.
"Objektif utama undang-undang digubal dan dikuatkuasakan adalah untuk mengelak pesalah laku daripada melakukan kesalahan berulang. Selain itu, undang-undang juga bertujuan menjaga peraturan dan ketertiban dalam masyarakat," katanya.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata pendidikan, bimbingan psikospiritual dan kaunseling merupakan antara pendekatan yang dikenal pasti bagi menangani penglibatan pelajar dalam kegiatan LGBT di Terengganu.
Katanya, usaha itu termasuk menyediakan khidmat kaunseling secara berterusan, bimbingan kerohanian serta memperkukuh kod etika dan garis panduan berkaitan aktiviti di kampus.
"Faktor penglibatan LGBT termasuk personaliti semula jadi, pengaruh persekitaran sosial, sokongan sosial berbentuk material, pengalaman mengalami gangguan seksual, kurang kasih sayang dan sokongan daripada ahli keluarga, rangsangan seksual, keinginan dan kepuasan seksual, kesunyian, pengaruh rakan sejenis serta orientasi seksual.
"Antara usaha dan langkah yang boleh diambil ialah menetapkan garis panduan jelas berhubung penganjuran program, pemakaian dan pergaulan di kampus, selaras dengan peraturan universiti serta undang-undang negara," katanya.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengambil maklum isu amalan songsang dan LGBT dalam kalangan masyarakat susulan perubahan landskap kejadian HIV di negeri itu, daripada penularan dalam kalangan pengguna dadah suntikan kepada risiko melalui hubungan seksual.
"Sehubungan dengan itu, program kesedaran secara menyeluruh dan berterusan berkaitan sentuhan tidak selesa serta bahaya grooming dilaksanakan di semua peringkat, bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) hingga kepada orang awam melalui jabatan dan agensi kerajaan di Terengganu.
"Program itu turut bertujuan memperkasakan kanak-kanak dan remaja supaya dapat menjauhkan diri daripada amalan berkenaan. Duta-duta turut dilantik dalam kalangan pelajar sekolah dan IPT untuk bertindak sebagai Pembimbing Rakan Sebaya bagi menyebarkan maklumat berkaitan kepada rakan-rakan yang memerlukan bantuan dan bimbingan," katanya.
--.BERNAMA