Skip to main content

Malaysia

APM perhebat pemantauan media sosial kesan maklumat banjir di lima negeri

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak Kolonel (PA) Rohaizat Hadli ditemu bual ketika ditemui di Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Perak, hari ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak Kolonel (PA) Rohaizat Hadli ditemu bual ketika ditemui di Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Perak, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

IPOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempergiat pemantauan menerusi pelbagai saluran termasuk platform media sosial bagi mengesan maklumat berkaitan kejadian banjir yang kini melanda lima negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata pemantauan berterusan itu bertujuan memastikan setiap maklumat dan laporan berkaitan banjir dapat dikenal pasti supaya tindakan segera dapat diambil bagi membantu mangsa yang terjejas.

Beliau berkata anggota APM yang bertugas di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di seluruh negara, khususnya di kawasan dilanda banjir, sentiasa memantau perkembangan semasa termasuk maklumat yang disalurkan menerusi media sosial.

Advertisement

“Buat masa ini, semua maklumat berkaitan banjir termasuk yang dikongsikan di media sosial dipantau secara berterusan oleh anggota APM di PKOD, terutama di kawasan terjejas.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, APM akan segera menggerakkan anggota untuk melaksanakan operasi menyelamat dan membantu mangsa tanpa menunggu tempoh masa tertentu,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Warga APM Perak di Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Perak di sini hari ini.

Ghazali berkata seramai 7,000 pegawai dan anggota APM sepenuh masa bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya berlaku antara November hingga Mac setiap tahun.

Mengulas situasi banjir di negeri-negeri terjejas, beliau berkata keadaan setakat ini masih terkawal dengan pemantauan rapi dilaksanakan oleh pihak pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

Beliau berkata keupayaan operasi APM di negeri-negeri terbabit juga masih mencukupi dari segi kekuatan anggota, aset dan logistik bagi mengendalikan sebarang insiden berkaitan banjir.

“Sehubungan itu, belum ada keperluan untuk menggerakkan bantuan anggota atau aset dari negeri lain kerana keupayaan sedia ada masih memadai bagi menangani situasi semasa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement