KUALA LUMPUR: Prestasi semalaman Wall Street yang mengukuh telah mendorong Bursa Malaysia untuk kembali meningkat pada sesi dagangan awal pagi ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.08 mata kepada 1,437.41 daripada penutupan Rabu pada 1,435.33.

Indeks utama penanda aras dibuka 0.61 mata lebih tinggi pada paras 1,435.94.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 141 berbalas 101 manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,893 tidak diniagakan dan 14 digantung.

Jumlah dagangan 197.64 juta unit bernilai RM60.99 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street memperlihatkan pergerakan cergas selepas Rizab Persekutuan AS memutus untuk menangguhkan seketika kenaikan kadar semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) semalam.

Namun begitu, Rizab Persekutuan menegaskan ia akan terbuka untuk penilaian keadaan ekonomi di FOMC seterusnya pada pertengahan Disember.

Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 221 mata (0.67 peratus) manakala Nasdaq melonjak 210 mata (1.64 peratus) dengan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut kepada 4.73 peratus.

"Di dalam negara, indeks FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,440-1,450 kerana kegiatan memburu saham murah mungkin muncul di kaunter bank, telekomunikasi dan utiliti menjelang musim pelaporan keputusan kewangan yang akan datang," kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi menokok empat sen kepada RM4.24, Public Bank menambah dua sen menjadi RM4.17, Petronas Gas meraih 16 sen kepada RM17.24, Tenaga Nasional meningkat lima sen kepada RM9.90 dan Axiata peroleh tiga sen pada RM2.21.

Bagi saham aktif, SMTrack naik satu sen kepada empat sen, MQ Technology tidak berubah pada 2.5 sen, CSH Alliance untung setengah sen menjadi lima sen tetapi Salutica turun satu sen kepada 71.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 20.52 mata kepada 10,601.72, Indeks FBMT 100 naik 18.26 mata kepada 10,276.69 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 31.17 mata kepada 10,795.88.

Indeks FBM 70 menambah 39.56 mata kepada 13,964.28 tetapi Indeks FBM ACE turun 2.24 mata kepada 4,997.28.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.08 mata kepada 170.09, Indeks Perladangan untung 5.10 mata untuk mencatatkan paras 6,891.16, Indeks Tenaga meningkat 0.80 mata kepada 858.45 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.56 mata kepada 16,1980.18.

-- BERNAMA