Skip to main content

Malaysia

Tuanku Zara Salim dianugerahkan Fellow Kehormat IEM 2026

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (tengah) berkenan menerima Anugerah Felo Kehormat IEM pada Perasmian Persidangan Antrabangsa Ke-4 Wanita Dalam Sains, Kejuruteraan & Teknologi (WISET) 2026 hari ini. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim (tengah) berkenan menerima Anugerah Felo Kehormat IEM pada Perasmian Persidangan Antrabangsa Ke-4 Wanita Dalam Sains, Kejuruteraan & Teknologi (WISET) 2026 hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menerima anugerah Fellow Kehormat IEM 2026 atas sumbangan dalam pendidikan, kelestarian, inovasi dan pemerkasaan wanita.
  • Anugerah tertinggi IEM itu disampaikan sempena Persidangan Antarabangsa Keempat Wanita dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (WiSET) 2026 di Perak.
  • Tuanku Zara turut mempunyai latar belakang sebagai jurutera kimia dan aktif dalam kegiatan STEM serta menjadi inspirasi kepada pelajar perempuan di Perak.
Advertisement

IPOH: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menerima anugerah Fellow Kehormat Institusi Jurutera Malaysia (IEM) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda kepada masyarakat serta komitmen berterusan menyokong pendidikan, kelestarian, inovasi dan pemerkasaan wanita serta komuniti.

Penganugerahan tertinggi badan profesional kejuruteraan itu berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Keempat Wanita dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (WiSET) 2026 anjuran Seksyen Jurutera Wanita IEM (IEM-WE) bermula hari ini hingga 25 Nov di Hotel Casuarina di sini.

Tuanku Zara turut berkenan merasmikan persidangan tersebut hari ini.

Advertisement

Terdahulu, Presiden IEM Yau Chau Fong dalam sembah ucapan berkata penganugerahan itu merupakan satu penghormatan yang amat istimewa kepada IEM. 

"Patik berharap agar ia turut menjadi lambang hubungan yang berterusan dalam usaha memartabatkan pendidikan, kejuruteraan dan pembangunan masyarakat," katanya.

Advertisement

Sementara itu pada sidang media, Yau berkata penganugerahan Fellow Kehormat IEM hanya diberikan kepada dua hingga tiga individu terpilih setiap tahun merangkumi pemimpin negara atau kerabat diraja setelah mendapat kelulusan serta undian ahli majlis IEM.

Pengerusi Seksyen Jurutera Wanita IEM Prof Dr Zuhaina Zakaria pula berkata pemilihan Tuanku Zara amat bertepatan memandangkan baginda sendiri mempunyai latar belakang sebagai jurutera kimia selain merupakan Fellow di Institution of Chemical Engineers.

"Tuanku Zara juga terlibat dalam kegiatan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Perak dan juga mempunyai pengetahuan teknikal,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Penganjur WiSET 2026 Prof Madya Dr Mah Siew Kien menyifatkan penganugerahan kepada Tuanku Zara itu amat bermakna sempena penganjuran sulung persidangan berkenaan di Perak yang kini pesat menerima kemasukan pelaburan berteknologi tinggi termasuk syarikat kecerdasan buatan (AI).

"Di Perak banyak sekolah-sekolah perempuan antaranya Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Ipoh. 

"Jadi amat bermakna kalau Tuanku Zara sebagai suri teladan (role model) terutamanya kepada pelajar-pelajar perempuan yang cemerlang di Perak untuk memasuki bidang sains, kejuruteraan dan teknologi,” katanya.

Bertemakan "Inclusive Innovation: Women Leading Digital and Sustainable Transformation", WiSET 2026 menghimpunkan golongan profesional, jurutera, teknologis, ahli akademik serta pemimpin industri untuk bertukar-tukar pengetahuan, berkongsi pengalaman dan meneroka peluang memperkukuh penyertaan serta kepimpinan wanita dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi (SET).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement