Darul Rahmat Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD), untuk menyediakan peluang, ruang dan pendedahan kepada para pelajarnya belajar mengenai pengurusan perniagaan dalam industri perkhidmatan makanan, terutamanya dalam segmen makanan segera.

Para pelajar akan menjalani latihan dengan Radix Fried Chicken (RFC), yang diuruskan oleh Darul Rahmat, syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan industri makanan.

"Menerusi program latihan ini, para pelajar boleh menyiapkan diri lebih awal untuk kerjaya itu dalam melangkah ke industri perkhidmatan," kata pengerusi RFC, Datuk Ahmad Shafee Sabaruddin kepada pemberita selepas merasmikan cawangan RFC Sungai Besi dan pemeteraian MOU di ibu negara hari ini.

Beliau berkata yang program itu juga akan memberikan peluang kepada pelajar mengambil kursus yang berkaitan dengan membantu mereka mendapatkan pengalaman semasa bekerja dengan RFC.

"Sebaik sahaja para pelajar berjaya melengkapkan program latihan dan mendapat persijilan, mereka akan ditawarkan pekerjaan di RFC," tambah beliau.

Sementara itu, Ahmad Shafee berkata hampir RM1.2 juta telah dilabur untuk membuka cawangan RFC baharu itu, sambil menambah yang syarikat yakin mempunyai 50 restoran seluruh negara menjelang 2017, daripada 10 pada masa ini.

RFC juga berhasrat membuka cawangan di Thailand menjelang Jun tahun depan.