SHAH ALAM: Sejumlah RM364,700 atau 73 peratus daripada keseluruhan RM500,000 peruntukan program pembangunan dan pemerkasaan komuniti Orang Asli telah dibelanjakan setakat Oktober lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin berkata baki peruntukan sebanyak RM135,300 sedang dalam proses pelaksanaan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Beliau berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, infrastruktur asas, ekonomi, kesihatan, kepimpinan dan kebudayaan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat komuniti berkenaan.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan program pembangunan infrastruktur asas di sembilan kampung Orang Asli, iaitu melibatkan pemasangan lampu jalan serta kerja-kerja baik pulih jalan dan longkang secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang penduduk daripada 934 keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) mengenai sejauh mana peruntukan RM500,000 bagi pembangunan masyarakat Orang Asli pada 2026 dibelanjakan.
Jamaliah berkata penganjuran Festival Kebudayaan Orang Asli yang merupakan antara aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah peruntukan berkenaan telah menerima kunjungan dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 orang pengunjung yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli seluruh Selangor.
Beliau berkata penganjuran festival berkenaan telah memberi manfaat kepada usahawan dan peniaga kecil Orang Asli melalui penyediaan ruang pameran dan jualan bagi mempromosikan produk hasil kebun dan hutan seperti madu, petai serta pelbagai produk kraftangan tempatan.
“Kerajaan negeri mengambil pendekatan pembangunan masyarakat Orang Asli tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan bantuan dan kemudahan asas semata-mata, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti, peluang ekonomi dan pemerkasaan komuniti secara berterusan.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh pemantauan pelaksanaan program bersama agensi berkaitan bagi memastikan manfaat yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum serta memberi kesan berterusan kepada kehidupan masyarakat Orang Asli,” katanya.
-- BERNAMA