KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis selepas seorang pelajar tingkatan tiga sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negeri itu ditemukan meninggal dunia hari ini.
JPN Perak dalam kenyataan memaklumkan sedang memantau perkembangan insiden itu secara dekat.
"Selain itu, JPN Perak telah menyelaras agar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial diberikan kepada murid, guru serta warga sekolah yang terkesan dalam memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.
"JPN Perak juga memastikan komunikasi dengan keluarga murid dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, di samping memberikan bantuan serta sokongan yang bersesuaian," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPN Perak memohon semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya melalui media sosial, bagi menjaga sensitiviti keluarga serta kelancaran proses siasatan.
Jabatan itu juga menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian murid berkenaan.
Media melaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang dan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan.
Sebuah portal media melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kenyataan lanjut berhubung insiden itu akan dikeluarkan menerusi satu kenyataan media dalam masa terdekat.