Dasar berkecuali ASEAN tawar platform dagangan, pelaburan dengan kuasa ekonomi utama

Tengku Zafrul pada sesi perbincangan bertajuk "Building Regional Strength through Smarter Fiscal and Trade Policies" hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Rantau ASEAN yang berkecuali menawarkan platform bagi perdagangan, kerjasama teknologi dan pelaburan dengan semua kuasa ekonomi utama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Pelaburan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Rantau ASEAN berkecuali menawarkan platform perdagangan, kerjasama teknologi, dan pelaburan tanpa cenderung ke mana-mana blok strategik, kata Menteri Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
- Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN, memainkan peranan penting dalam menjaga keseimbangan ekonomi dan strategik rantau itu, serta memperkuat kerjasama ekonomi dengan China melalui ACFTA dan ATIGA.
- Peningkatan ATIGA dijangka memperkukuh integrasi ekonomi serantau ASEAN, manakala DEFA dijangka membawa ekonomi digital ASEAN mencecah US$2 trilion menjelang 2030, sementara usaha peralihan hijau dan penyahkarbonan industri turut diberi tumpuan.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sejak setahun lalu, Malaysia telah diberi kepercayaan sebagai pengerusi ASEAN yang pada masa menyaksikan pemecahan geopolitik serta pertikaian kuasa-kuasa besar.
Di sebalik cabaran itu, ASEAN memaparkan daya tahan, perpaduan serta kestabilan, sekali gus mengesahkan lagi kedudukannya sebagai tonggak keseimbangan ekonomi serta berkecuali secara strategik.
"Salah satu perkara utama daripada Kepengerusian ASEAN itu adalah kerelevanan rantau ini yang telah ketara seiring dengan peningkatan polarisasi global.
"Seiring usaha kuasa besar yang melakukan penjajaran semula dan perubahan rantaian bekalan mengikut pertikaian geopolitik, pendirian ASEAN yang seimbang dan berwawasan ini telah menjadi kuasa penstabil yang bernilai," katanya.
Tengku Zafrul berkata pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia selaku anggota ASEAN, turut bertindak memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dipertingkat dan mengukuhkan kerjasama ekonomi yang dijalinkan dengan China.
Selain itu, peningkatan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dimuktamadkan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, pula menjadi menjadi langkah penting ke arah memperdalam integrasi ekonomi serantau.
"Dalam era yang mana daya tahan serta ketangkasan menjadi penentu daya saing, peningkatan ATIGA itu meletakkan asas institusi bagi membolehkan rantau ini berperanan sebagai pasaran tunggal lebih dipercayai, lebih lancar dan hanya menambah tarikan bagi tujuan pelaburan.
"Pada 2024 misalnya, ASEAN bertentangan dengan aliran global apabila mencatat peningkatan 8.5 peratus dalam pelaburan langsung asing yang mencecah US$228 bilion (US$1=RM4.14). Susulan peningkatan ATIGA, saya yakin momentum ini dapat dikekalkan," katanya.
Selain itu, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pula dijangka membolehkan ekonomi digital ASEAN mencecah US$1 trilion menjelang 2030.
Menerusi DEFA yang dimajukan di bawah kepimpinan Malaysia juga dijangka meningkatkan angka itu sebanyak dua kali ganda kepada US$2 trilion, katanya.
Bagi aspek peralihan hijau dan penyahkarbonan industri, Tengku Zafrul berkata ASEAN telah mencatat kemajuan dalam Grid Kuasa ASEAN yang akan merevolusi serta mewujudkan penyepaduan lebih erat dalam sektor tenaga serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


