Skip to main content

Bisnes

Dokumentari Merintis Legasi ikuti 75 tahun perjalanan KWSP berbakti kepada ahli dan negara

Saksikan Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara di Astro AWANI pada 21 November 2026, pukul 8.30 malam. -Foto KWSP
Saksikan Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara di Astro AWANI pada 21 November 2026, pukul 8.30 malam. -Foto KWSP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dokumentari khas Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara membawa penonton menelusuri perjalanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang lebih tujuh dekad serta peranannya dalam berbakti kepada ahli dan negara.

Dokumentari itu menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-75 KWSP yang merakam perjalanan, legasi serta komitmen berterusan institusi berkenaan kepada ahlinya.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ulang tahun ke-75 bukan sekadar sebuah sambutan, sebaliknya menjadi ruang untuk mengimbau perjalanan yang telah dilalui serta menghargai legasi dan amanah yang diwariskan oleh generasi terdahulu.

Advertisement

“Sesebuah institusi tidak mampu bertahan selama 75 tahun hanya kerana keupayaannya untuk berubah. Ia bertahan kerana institusi itu memahami nilai dan prinsip yang harus dipertahankan. KWSP sentiasa berteraskan tujuan yang jelas, rasa tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada ahli,” katanya.

Merintis Legasi menghidupkan perjalanan itu dengan membawa penonton menyelami kisah, suara dan detik penting yang membentuk KWSP sejak penubuhannya. Dokumentari berkenaan turut mengetengahkan bagaimana perjalanan institusi ini berkait rapat dengan pertumbuhan, kemajuan dan aspirasi negara sepanjang 75 tahun.

Advertisement

Di sebalik perkembangan sebuah institusi, dokumentari itu turut mengetengahkan pengalaman mereka yang pernah dan masih menjadi sebahagian daripada KWSP, serta kisah pekerja, keluarga dan pesara merentas generasi.

Ia memperlihatkan bahawa kisah KWSP bukan sekadar mengenai sebuah institusi, tetapi juga mengenai mereka yang bekerja, menabung dan membina harapan untuk masa hadapan.

Perjalanan KWSP bermula pada 1 Oktober 1951 di bawah Ordinan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 dengan matlamat asas untuk menyediakan jaminan kewangan kepada pekerja apabila mereka bersara.

Pada peringkat awal, KWSP ditadbir di bawah Ketua Pengarah Pos Negara sebelum berkembang menjadi salah sebuah institusi keselamatan sosial utama negara.

Jumlah ahli KWSP kemudiannya melepasi sejuta pada 1957, tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, sebelum liputannya diperluas ke Sabah dan Sarawak pada 1969.

Akta KWSP 1991 menandakan satu lagi perkembangan penting dengan mengemas kini peruntukan berkaitan pelaburan, pengeluaran simpanan dan tadbir urus dana.

Daripada pelaburan awal dalam sekuriti kerajaan pada 1950-an, portfolio KWSP berkembang merangkumi ekuiti, instrumen pendapatan tetap, hartanah dan infrastruktur bagi menjana pulangan untuk simpanan ahli.

Pada akhir 2025, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.409 trilion, dengan 61.7 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Seiring  dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia dan perubahan corak pekerjaan, peranan KWSP turut berkembang dengan memberi tumpuan kepada usaha membantu ahli memperkukuh daya tahan kewangan, keyakinan serta kesejahteraan persaraan yang lebih mampan, sambil terus menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.

Sebagai sebahagian daripada ulang tahun ke-75, KWSP turut memperkenalkan buku peringatan The EPF Story, yang merakam kisah individu, detik penting dan sumbangan yang membentuk institusi sepanjang lebih tujuh dekad, manakala Bank Negara Malaysia melancarkan syiling peringatan khas bagi memperingati legasi KWSP dalam sejarah Malaysia.

Saksikan Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara di Astro AWANI pada 21 November 2026, pukul 8.30 malam.

Jika terlepas siaran tersebut, dokumentari ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi sooka mulai 28 November 2026.

Terokai sejarah dan pencapaian KWSP menerusi laman mikro rasmi ulang tahun ke-75 dalam Bahasa Melayu⁠ atau Bahasa Inggeris⁠.

Must Watch Video

Advertisement