Skip to main content

Bisnes

GWM ORA 5 Hi2 HEV dilancar pada harga RM106,800

Dari kiri: Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah; Ketua Jurutera Sistem Rangkaian Kuasa GWM, Dr Hu Xin; Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi; Pengerusi MARii, Datuk Aminar Rashid; Pengarah Kanan MITI, Faizal Mohd Yusof; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai (Pembuatan – Bukan Berasaskan Sumber), Nik Mohamed Husni Nik Ali; Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao; Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah; dan Pengarah Pemasaran GWM Malaysia, Lim Ee Lenn pada pelancaran rasmi GWM ORA 5 Hi2 HEV di Pavilion Bukit Jalil. -Kredit GWM
Dari kiri: Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah; Ketua Jurutera Sistem Rangkaian Kuasa GWM, Dr Hu Xin; Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia, Cui Anqi; Pengerusi MARii, Datuk Aminar Rashid; Pengarah Kanan MITI, Faizal Mohd Yusof; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai (Pembuatan – Bukan Berasaskan Sumber), Nik Mohamed Husni Nik Ali; Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Malaysia, Stan Li Hao; Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah; dan Pengarah Pemasaran GWM Malaysia, Lim Ee Lenn pada pelancaran rasmi GWM ORA 5 Hi2 HEV di Pavilion Bukit Jalil. -Kredit GWM
Advertisement

KUALA LUMPUR: GWM Malaysia memperluas pilihan kenderaan elektrifikasinya menerusi pelancaran GWM ORA 5 Hi2 HEV, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak pemasangan tempatan yang menggabungkan prestasi hibrid, kecekapan bahan api dan teknologi keselamatan.

Model itu ditawarkan pada harga RM106,800 atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia, kecuali Langkawi, sekali gus menandakan peluasan jenama ORA daripada kenderaan elektrik sepenuhnya kepada segmen hibrid.

Pengarah Urusan Operasi Komersial, GWM Malaysia, Stan Li Hao berkata keselamatan menjadi pertimbangan utama dalam pembangunan model berkenaan, diikuti teknologi, reka bentuk dan harga yang bersesuaian.

Advertisement

“Selain teknologi, perkara pertama ialah keselamatan. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.

“Kereta ini dilengkapi spesifikasi keselamatan yang menyeluruh, disusuli teknologi. Dengan reka bentuk yang baik serta harga yang sesuai, kami yakin terhadap model ini,” katanya pada majlis pelancaran di Pavilion Bukit Jalil pada Khamis.

Advertisement

GWM ORA 5 Hi2 HEV dikuasakan oleh enjin hibrid turbo 1.5 liter yang digandingkan dengan motor elektrik dan transmisi hibrid khusus dua kelajuan.

Gabungan itu menghasilkan kuasa 223 PS dan tork 476 Newton meter (Nm), dengan keupayaan memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 7.7 saat.

Model berkenaan mencatat penggunaan bahan api serendah 4.4 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran New European Driving Cycle (NEDC).

Ia juga menawarkan jarak pemanduan melebihi 1,100 kilometer dalam keadaan optimum tanpa memerlukan pengecasan luaran, dengan prestasi sebenar bergantung pada gaya pemanduan, keadaan jalan, trafik dan muatan kenderaan.

Image
GWM ORA 5 INSERT
Stan Li Hao, menyampaikan ucap tama pada pelancaran rasmi GWM ORA 5 Hi2 HEV. - Kredit GWM

Dari aspek keselamatan, SUV itu dilengkapi enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Cengkaman dan kamera pandangan sekeliling 360 darjah dengan paparan casis lutsinar.

Antara teknologi bantuan pemandunya ialah Sistem Bantuan Pelayaran Pintar, Bantuan Kesesakan Lalu Lintas, Brek Kecemasan Autonomi, bantuan mengekalkan lorong, pemantauan titik buta serta amaran trafik melintas.

Bahagian kabin pula menampilkan skrin sentuh infotainmen 15.6 inci, paparan instrumen digital 10.25 inci, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta sistem audio sembilan pembesar suara.

Ia turut menawarkan bumbung suria panoramik, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan, kotak penyejuk berkapasiti 3.2 liter dan ruang bagasi yang boleh diperluas daripada 275 kepada 973 liter.

Mengulas perjalanan empat tahun GWM di Malaysia, Stan berkata, GWM Gateway memberi peluang kepada orang ramai memahami perkembangan, teknologi dan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap pasaran tempatan.

“GWM sentiasa mahu tampil sebagai jenama yang jujur. Setiap langkah yang kami ambil dibina di atas asas yang kukuh dan dilaksanakan secara nyata.

“Sebab itu, apabila memasuki pameran ini, perkara pertama yang kami tampilkan ialah jejak perjalanan dan teknologi kami serta cara kami membina sesuatu dengan kukuh.

“Kami bukan jenama yang sekadar datang ke Malaysia. Kami mahu memperkukuh kehadiran tempatan dan membangunkan produk di Malaysia untuk pasaran Malaysia,” ujarnya.

GWM ORA 5 Hi2 HEV dipasang di kilang EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka, menyertai GWM HAVAL H6 HEV serta GWM WEY G9 Hi4 PHEV dan HEV dalam rangkaian model pemasangan tempatan syarikat itu.

Image
GWM ORA 5 INSERT
Roslan Abdullah, menyampaikan ucaptama pembukaan pada pelancaran rasmi GWM ORA 5 Hi2 HEV. -Kredit GWM

Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata pencapaian pengeluaran lebih 10,000 kenderaan pemasangan tempatan menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuh pembangunan sektor automotif negara.

“Pencapaian 10,000 unit pemasangan tempatan memainkan peranan penting dalam memenuhi hasrat dan aspirasi kerajaan untuk membangunkan sektor automotif.

“Pada masa akan datang, kita mahu terus berkembang daripada 10,000 kepada 20,000 atau 30,000 unit, selain mengenal pasti model yang sesuai untuk dieksport bagi menjadikan Malaysia hab eksport GWM ke negara-negara ASEAN,” katanya.

Setakat ini, GWM Malaysia mengeksport lebih 1,100 unit WEY G9 pemasangan Malaysia ke Thailand dan Indonesia.

Roslan berkata peluasan pengeluaran serta eksport memerlukan kerjasama berterusan dengan ibu pejabat GWM dan pemilihan produk yang mampu bersaing di pasaran serantau.

“Kami akan terus berbincang dengan ibu pejabat GWM bagi memastikan usaha memperluas pengeluaran domestik dan eksport berjalan lancar.

“Usaha ini memerlukan produk yang berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan pasaran negara yang menjadi sasaran eksport,” jelasnya.

Bagi pemilikan jangka panjang, GWM ORA 5 Hi2 HEV disertakan waranti keseluruhan kenderaan serta enjin dan transmisi selama enam tahun tanpa had perbatuan.

Bateri kuasa voltan tingginya pula dilindungi selama lapan tahun atau sehingga 180,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu.

Pakej pelancaran turut merangkumi rebat RM5,000 bagi 1,000 unit pertama yang didaftarkan atau sehingga 31 Disember 2026, mengikut mana-mana yang terdahulu, selain caj upah percuma bagi lima penyelenggaraan berjadual pertama dan perkhidmatan telematik selama lima tahun.

Image
GWM ORA 5 INSERT
Orang ramai boleh melihat model itu dengan lebih dekat menerusi GWM Gateway di Piazza, Pavilion Bukit Jalil dari 20 hingga 22 November, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam. -Kredit GWM

Pameran tersebut turut mengetengahkan rangkaian model GWM, platform teknologi GUIYUAN serta gambaran awal hala tuju mobiliti syarikat menerusi GWM SOUO, GWM HAVAL H7 PHEV dan GWM WEY V9X.

Must Watch Video

Advertisement