Ringkasan AI
- Agrobank melancarkan skim pembiayaan patuh syariah AGRO i-Sinar bermula RM5,000 untuk membantu usahawan mikro India sempena Deepavali 2026.
- Skim ini bertujuan memudahkan akses pembiayaan, memperkukuh daya tahan perniagaan, serta menawarkan perlindungan takaful kredit percuma sehingga RM50,000 kepada pelanggan layak.
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan komited bekerjasama dengan Agrobank bagi menyokong pembangunan usahawan dan komuniti setempat.
KLANG: Agrobank melancarkan skim pembiayaan patuh syariah AGRO i-Sinar sempena Deepavali 2026 bagi membantu usahawan mikro dalam kalangan masyarakat India mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan, dengan pembiayaan bermula daripada RM5,000.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, akses yang lebih baik kepada pembiayaan formal penting bagi memastikan usahawan mikro turut menikmati manfaat pembangunan ekonomi.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan modal kerja dan pengembangan perniagaan, malah berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah, mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan.
“Saya percaya bahawa apabila lebih ramai usahawan diberikan peluang untuk maju, manfaatnya akan turut dirasai oleh keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” katanya menerusi teks ucapan pada majlis pelancaran skim itu di Dewan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Jumaat.
Beliau berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Agrobank serta jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi menyokong pembangunan usahawan dan komuniti.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kemudahan itu disediakan untuk membantu usahawan mikro memenuhi keperluan modal kerja dan memperkukuh daya tahan perniagaan mereka.
“AGRO i-Sinar merupakan salah satu inisiatif strategik Agrobank yang diwujudkan bagi membantu usahawan mikro dalam kalangan masyarakat India mendapatkan akses kepada pembiayaan yang lebih mudah dan berpatutan bagi mengembangkan serta memperkukuh perniagaan mereka,” katanya.
Selain modal kerja, pembiayaan itu boleh digunakan untuk membeli aset perniagaan dan memperluas operasi, manakala pelanggan yang layak turut ditawarkan perlindungan takaful kredit percuma sehingga RM50,000.
“Agrobank percaya akses kepada pembiayaan yang inklusif merupakan pemangkin penting dalam memperkasakan komuniti dan meningkatkan mobiliti ekonomi. Melalui AGRO i-Sinar, kami bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan untuk keperluan modal kerja dan pengembangan perniagaan, malah membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk memperkukuh daya tahan perniagaan,” tambahnya.
Pada majlis sama, Agrobank turut menyampaikan bakul makanan dan sumbangan tunai bernilai RM20,000 kepada 100 penerima yang memerlukan sempena Deepavali.