Dolar AS lemah, niaga hadapan emas ditutup tinggi

Kontrak niaga hadapan November 2025 naik kepada AS$4,129.3 bagi setiap auns troy berbanding AS$4,070.6 setiap auns troy semalam.
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat ketika mengakhiri dagangan hari ini, didorong oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kenyataan Gabenor Rizab Persekutuan AS Christopher Waller yang lebih memihak untuk mengurangkan kadar faedah.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kecenderungan Fed itu hanya membuktikan kemungkinan bank pusat AS itu akan melaksanakan pengurangan pada Disember ini.
Jangkaan itu diperkukuhkan lagi oleh kenyataan terbaharu Waller mengenai kewajaran mengurangkan kadar faedah demi menyokong pasaran tenaga kerja negara maju berkenaan.
"(Berikutan itu) pasaran secara ketara telah meneliti semula keluk dalam tempoh hanya 72 jam -- akibatnya, persepsi kemungkinan pengurangan kadar faedah pada Disember telah melonjak daripada kira-kira 40 peratus kepada hampir 90 peratus.
"Sebarang peralihan itu hanya memacu harga emas," katanya kepada Bernama.
Kontrak niaga hadapan November 2025 naik kepada AS$4,129.3 bagi setiap auns troy berbanding AS$4,070.6 setiap auns troy semalam, Disember 2025 meningkat kepada AS$4,146.4 setiap auns troy berbanding AS$4,087.3 setiap auns troy manakala Januari 2026 menokok kepada AS$4,163.0 bagi setiap auns troy daripada AS$4,104.5 setiap auns troy.
Selain itu, kontrak Februari, April dan Jun 2026 meningkat kepada AS$4,179.3 setiap auns troy daripada AS$4,122.3 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 115 lot daripada 34 lot semalam manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 151 kontrak daripada 75 kontrak, sebelum ini.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association, harga emas fizikal pada AS$4,082.05 setiap auns troy pada 24 November 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


