KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa menyesuaikan penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan bagi memastikan mereka terus kekal relevan serta berdaya saing dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi.
Ahli Lembaga Pengarah MATRADE Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pematuhan ESG kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting yang semakin diberi perhatian oleh pemain industri di peringkat global.
Menurut beliau, kegagalan memahami dan mengaplikasikan ESG boleh menyebabkan syarikat, khususnya PKS, ketinggalan dalam arus perubahan industri yang berkembang pesat.
“Semua industri hari ini mementingkan ESG. Jika kita tidak menyesuaikan diri, tidak belajar dan tidak mengaplikasikan ESG dalam perniagaan, kita akan ketinggalan.
“Sebab itu pendedahan, perkongsian ilmu dan pemahaman mengenai ESG sangat penting supaya pemain industri dapat meningkatkan daya saing mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program AI, ESG & Smart Manufacturing Industry Executive Forum 2026 Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan melalui pelbagai agensi giat menyediakan platform, latihan dan perkongsian kepakaran bagi membantu pemain industri, khususnya usahawan kecil, memahami serta melaksanakan amalan ESG dalam perniagaan mereka.
Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi PKS adalah kekangan modal dan kebimbangan terhadap kos pematuhan, namun pendekatan itu perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan produktiviti serta keuntungan.
“Penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan dan membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada perniagaan PKS,“ katanya.
Beliau berharap lebih ramai pemain industri mengambil inisiatif menambah pengetahuan serta memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan bagi memperkukuh kedudukan perniagaan mereka pada masa hadapan.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin industri, pakar teknologi, pembuat dasar, pengilang serta pembuat keputusan perniagaan bagi membincangkan bagaimana kecerdasan buatan (AI), amalan ESG, teknologi pembuatan pintar, serta penyelesaian pembiayaan inovatif dapat mempercepatkan perjalanan transformasi perindustrian Malaysia.