IPOH: Seorang pemandu rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu dipercayai bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di Jalan Batu 9, Kg Semangat, Segari, Pantai Remis, dekat sini, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.36 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Innova (nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti) selepas dipercayai bertembung dengan sebuah treler jenis Nissan.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati api sedang marak hampir 90 peratus dari keseluruhan kereta tersebut dan setelah pemadaman dilakukan, terdapat seorang mangsa (tidak dapat dikenalpasti jantinanya), dilaporkan telah terperangkap dan terbakar di dalam kereta Innova tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, pemandu treler, lelaki berusia 60 tahun mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep RECEO seterusnya mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) lengkap bersama alat pernafasan melakukan pemadaman.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Selepas itu, ujarnya, anggota bomba menggunakan alat pemotong bagi mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kereta dan menyerahkannya pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sabarodzi berkata, pemandu treler yang cedera diberikan telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.
“Anggota juga turut membuat pencucian jalan bagi membuang sisa–sisa serpihan kenderaan yang pecah bertaburan dan tumpahan minyak akibat kemalangan tersebut,” tambahnya.
Operasi yang melibatkan enam anggota dari BBP Pantai Remis tamat jam 6.48 pagi.