KUALA LUMPUR: Produksi Randai Macbeth bakal dipentaskan di Kazan, Rusia pada 15 dan 16 Jun ini sempena IX International Theatre and Education Festival-Forum (Nauruz), yang berlangsung bersekali dengan pengisytiharan Kazan sebagai Cultural Capital of the Islamic World 2026.
Pemilihan Kazan sebagai ibu kota kebudayaan dunia Islam tahun ini menjadikan bandar tersebut pusat pertemuan pelbagai festival dan forum melibatkan negara-negara Islam sepanjang 2026.
Sebelum ini, pada 12 hingga 17 Mei lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot telah menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 “Russia – Islamic World: KazanForum”.
Beliau turut menjadi panel dalam sesi “Round Table Russian–Malaysian: Prospects for Russian–Malaysian Cooperation in the Creative Industries” yang bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala dalam industri kreatif.
Sehubungan itu, penyertaan Randai Macbeth dilihat sebagai kesinambungan hubungan budaya yang telah terjalin, sekali gus bertepatan dengan tema festival berkenaan yang menonjolkan kepelbagaian tradisi teater dunia Islam.
Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerima jemputan rasmi daripada Menteri Kebudayaan Republik Tatarstan pada Januari lalu untuk menyertai festival tersebut, yang dianjurkan oleh Galiasgar Kamal Tatar State Academic Theatre - sebuah institusi teater berprestij dengan sejarah lebih 100 tahun dalam seni persembahan Rusia.
Dekan PuTRA, Mohd Kamarulzaman Taib, atau Che Kem berkata, festival itu merupakan acara dwi-tahunan yang dianjurkan sejak 1989 ketika era Kesatuan Soviet.
Menurut beliau, Festival Nauruz memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jaringan penggiat teater antarabangsa melalui pertukaran pengalaman kreatif, peningkatan nilai estetika produksi serta integrasi komuniti seni persembahan global.
“Pemilihan Randai Macbeth untuk mewakili Malaysia amat signifikan kerana ia mengetengahkan seni tradisional Melayu, selain menampilkan pendekatan teater antarbudaya yang menggabungkan naskhah Barat dalam kerangka persembahan tempatan,” katanya.
Lebih membanggakan, katanya, produksi tersebut dipilih antara penyertaan pelbagai negara, dengan hanya dua negara dipilih bagi edisi kali ini - Malaysia dan Maghribi.
Maghribi akan diwakili oleh Institut Supérieur d'Art Dramatique et d'Animation Culturelle (ISADAC) menerusi persembahan “Alharraz”, yang berasaskan warisan seni puisi, zikir dan penceritaan tradisional negara itu.
“Ini membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkenalkan seni budaya kepada khalayak antarabangsa, khususnya negara sekitar Rusia yang jarang berpeluang menyaksikan persembahan seumpama ini,” tambah beliau.
Randai Macbeth mula dipentaskan pada 2024 di Black Box ASWARA di bawah arahan Norzizi Zulkifli, menampilkan barisan pelakon berpengalaman termasuk Juhara Ayob, Rosman Ishak, Eliza Mustaffa, Amer Amizan, Adika Zainal, Ijat Ashari dan Che Kem sendiri sebagai Macbeth.
Pada 2025, produksi tersebut mencipta pencapaian cemerlang apabila memenangi lapan anugerah di BOH Cameronian Arts Awards ke-20, antaranya Pengarah Terbaik, Pelakon Utama Terbaik, Produksi Terbaik dan Persembahan Berkumpulan Terbaik.
Sebelum ke Rusia, Randai Macbeth turut dipentaskan di The Esplanade, Singapura pada 16 hingga 19 April lalu sempena Pesta Raya Singapore, selain mengadakan pementasan di Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Mei, dengan kesemua tiket habis terjual.
Delegasi Malaysia yang terdiri daripada 32 anggota produksi akan berada di Rusia selama lapan hari bermula 12 hingga 19 Jun ini.
Rombongan tersebut ditaja oleh Galiasgar Kamal Tatar State Academic Theatre dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sebagai penerbit dan ketua delegasi, Che Kem menyifatkan penyertaan ke pentas antarabangsa itu sebagai amanah besar, namun penuh makna dalam usaha mengangkat seni budaya negara.
“Kami membawa misi kebudayaan dan berharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni Malaysia untuk menembusi pentas antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.