KUALA LUMPUR: Penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai terus berkembang di Malaysia, dengan e-dompet kini paling banyak digunakan.
Kajian firma penyelidikan pasaran, Ipsos Malaysia mendapati, 72 peratus rakyat di negara ini menggunakan pembayaran tanpa tunai dalam tempoh tiga bulan lalu, meningkat daripada 60 peratus pada 2025.
Penggunaan e-dompet pula meningkat hampir 30 peratus sejak 2023, daripada 52 kepada 81 peratus tahun ini.
Ini sekali gus mengatasi perbankan dalam talian dan pemindahan digital pada 70 peratus, serta kad debit pada 56 peratus bagi tahun ini.
e-dompet semakin digunakan golongan lebih berusia
Penggunaan e-dompet juga kini semakin menular kepada golongan lebih berusia, dengan pertumbuhan paling ketara direkodkan dalam kalangan mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun.
“Penggunaan e-dompet dalam kumpulan itu meningkat hampir sembilan peratus kepada 64 peratus, berbanding 56 peratus pada 2025.
“Bagi mereka berusia 45 tahun ke atas pula, penggunaan meningkat daripada 40 kepada 44 peratus,” menurut kajian itu.
Dalam kalangan pengguna lebih muda, kumpulan 18 hingga 24 tahun mencatat 64 peratus iaitu peningkatan dua peratus berbanding tahun lalu, manakala golongan berusia 25 hingga 34 tahun kekal pada 65 peratus.
Dapatan itu menunjukkan jurang penggunaan antara kumpulan umur semakin mengecil, menjadikan e-dompet semakin sebati dengan rutin pembayaran rakyat Malaysia.
Touch ’n Go dan MAE terus mandahului
Touch ’n Go eWallet kekal sebagai platform paling banyak digunakan manakala MAE terus mencatat pertumbuhan.
Kajian Ipsos Malaysia menunjukkan, Touch ’n Go eWallet digunakan oleh 81 peratus pengguna e-dompet dalam tempoh tiga bulan lalu, meningkat tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.
MAE pula mencatat peningkatan paling ketara dalam kalangan platform utama, naik sembilan peratus kepada 53 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pencabar utama.
Selain Touch ’n Go eWallet dan MAE, penggunaan platform lain jauh lebih rendah.
ShopeePay mencatat sembilan peratus, diikuti Setel dan GrabPay masing-masing enam peratus, Boost dua peratus dan Lazada Wallet satu peratus.
Dapatan itu menunjukkan pengguna semakin menumpukan penggunaan kepada beberapa platform utama yang dipercayai apabila pasaran e-dompet semakin matang.
e-dompet semakin menjadi rutin harian
Dari segi kegunaan, e-dompet kini banyak digunakan untuk urusan pembayaran fizikal harian.
Premis makanan dan minuman serta tol dan parkir masing-masing mencatat 70 peratus, manakala pembelian runcit merekodkan 58 peratus.
Penggunaan bagi penghantaran makanan pula ialah 51 peratus, sementara pembelian dalam talian dan pemindahan wang masing-masing pada 46 peratus.
Pembayaran bil pula mencatat 43 peratus.
Dapatan itu menunjukkan penggunaan e-dompet tidak lagi tertumpu kepada pembayaran dalam talian, sebaliknya semakin sebati dengan rutin perbelanjaan harian rakyat Malaysia.
Kepercayaan dan kemudahan pacu penggunaan
Dalam aspek persepsi jenama, Touch ’n Go dan MAE masing-masing mencatat 80 peratus bagi faktor kemudahan.
Bagaimanapun, MAE mencatat skor lebih tinggi bagi keselamatan dan kebolehpercayaan, iaitu 82 peratus berbanding 77 peratus bagi Touch ’n Go.
MAE turut mendahului dari segi penerimaan meluas, dengan 81 peratus berbanding 76 peratus bagi Touch ’n Go.
Menurut Ipsos Malaysia, dapatan itu menunjukkan kejayaan dalam pasaran e-dompet yang semakin matang bukan hanya bergantung kepada menarik pengguna baharu, tetapi turut kepada pengalaman pembayaran yang dipercayai dan lancar bagi membina kesetiaan pengguna dalam jangka panjang.