KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021. Ini adalah kali pertama ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sejak pandemik COVID-19 tahun lalu.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, prestasi ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Bagaimanapun ekonomi negara jelasnya menguncup sebanyak dua peratus dari suku pertama ke suku kedua akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.

"Meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan, sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah tersebut," jelasnya dalam sidang media Pengeluaran Data KDNK Suku Kedua tahun 2021 pada Jumaat.

Semua sektor ekonomi jelasnya, mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan. Tambahnya, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1 peratus pada suku kedua.

Dalam masa yang sama, Bank Negara turut semak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada antara 3.0 hingga 4.0 peratus pada tahun 2021.

Secara umumnya tambah Gabenor, pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bermula semula pada penghujung separuh kedua tahun 2021 dan bertambah baik pada tahun 2022.